Sabtu, 1 November 2014

Apa itu dropship

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Biasa tak dengar perkataan dropship? Pada mulanya saya sendiri pun tidak memahami apa itu dropship. Sejak terlibat dengan ABDR barulah saya tahu apa itu dropship. Dropship adalah salah satu cara bagi peniaga yang masih baru berjinak-jinak dengan bidang perniagaan tanpa mengeluarkan modal pun. Cara mudah guna air liur je sebagai modal, tapi tu cara lama. Cara yang moden kita boleh pasarkan produk menggunakan facebook, blog, instagram dan pelbagai lagi media sosial.

Si peniaga yang menyediakan produk dipanggil dropshipper. Manakala peniaga yang memasarkan produk dipanggil agen. Bayaran pendaftaran dicaj bergantung kepada dropshipper. Ada juga yang percuma. Kebaikan dropship kepada agen ialah agen tidak perlu mengeluarkan modal untuk membeli dan menyimpan stok. Mereka hanya perlu membuat aktiviti pemasaran dengan pelbagai cara seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Apabila mendapat pesanan dari pelanggan, agen hanya perlu memberi maklumat pesanan dan butir-butir pelanggan. Pelanggan akan membayar kepada agen amaun termasuk jumlah keuntungan agen. Selepas agen membayar bayaran kepada dropshipper, segala urusan pengeposan akan diuruskan oleh dropshipper.

Sebagai agen, kita perlu mengambil tahu kebaikan dan keburukan produk yang akan kita pasarkan. Ini untuk memudahkan kita jika ada pertanyaan dari bakal pelanggan tentang produk tersebut seterusnya mengelakkan kita dari memberi maklumat yang tidak betul. Ia juga penting dalam membina kepercayaan pelanggan terhadap produk dan peniaga. Jika mereka senang berurusan dengan kita ianya juga adalah taktik promosi percuma apabila mereka memperkenalkan pelanggan baru kepada kita.