Ahad, 8 November 2015

Tempahan Langsir

Teks: Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah sejak menceburkan diri dalam bidang langsir ni, saya menerima tempahan secara online. Sebenarnya saya risau juga bagaimana nak ambil ukuran pelanggan, bagaimana nak melayan pelanggan dengan penuh hikmah dan kesabaran. Maklumlah lain pelanggan lain ragamnya. Saya juga tidak jemu meneroka ilmu dalam bidang jahitan langsir dengan membeli buku tambahan dan juga menyertai kumpulan penjahit  langsir di Facebook. Rupanya ada pelbagai paten langsir yang saya masih belum tahu. 

Untuk menempah langsir, pelanggan perlu memberikan ukuran panjang rel langsir mereka, paten langsir yang dikehendaki dan juga yang penting bajet mereka. Ini adalah tagline Langsir Curtain Online iaitu menyediakan langsir mengikut bajet pelanggan. Dengan ukuran yang ada saya akan menggunakan formula langsir yang dipelajari untuk mengetahui jumlah meter kain yang diperlukan. Ianya juga digunakan dalam penyediaan sebutharga. Jika pelanggan bersetuju, mereka dikehendaki membayar  50 % dari jumlah sebutharga yang dipersetujui. Selepas itu barulah bermula proses memotong dan menjahit langsir. Tempoh siap bergantung kepada kuantiti dan paten langsir yang ditempah. Saya juga akan pastikan tempahan siap dalam tempoh masa ynag ditetapkan. Memandangkan saya menjahit langsir ini  separuh masa, pelanggan yang mahukan tempahan siap segera akan diberitahu jika saya tidak dapat memenuhinya. 

Pelbagai cabaran dihadapi dalam melayan kerenah pelanggan. Ada yang minta sebutharga, tapi lepas dah dapat diam dan tak balas pun mesej saya. Ada yang tanya macam-macam tapi tak tempah pun. Takpelah layankan sahaja, berfikiran positif dengan menganggap ini adalah latihan untuk saya dalam melayan pelanggan. 

Pelanggan pertama saya adalah Puan Norshaz dari Shah Alam. Tempahan ini untuk dipakai raya. Walaupun hanya langsir French Pleat dan Eyelet, tetapi ianya cukup menambah keyakinan saya dalam menyiapkan tempahan pelanggan. Pelanggan saya yang paling jauh dari Sarawak. Yang ni memang saya tak sangka sebab yang menempahnya lelaki dan seorang anggota polis. Pada mulanya dia hanya mahu menmpah kening langsir sahaja tetapi disebabkan tukang jahit di sana sudah tidak menerima tempahan, dia tambah lagi dengan badan langsir. Ini kali pertama saya menghantar langsir dengan poslaju. Saya juga  belajar berapa nak kenakan pelanggan kos pengangkutan. 

Para pembaca yang ingin menempah langsir, bolehlah berhubung dengan saya melalui Whatsapp atau mesej ke nombor 0129264108. InsyaAllah saya akan bantu supaya pelanggan dapat mencuba paten langsir terkini dengan bajet pembaca. 



Tempahan Langsir Dari Sarawak 

Sabtu, 7 November 2015

Langsir Oh Langsir

Teks : Munirah Abdul Hamid

Kelas Langsir Cara Mudah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Maafkan saya wahai pembaca budiman kerana sudah lama tidak berkarya di blog ini. Ini nukilan pertama saya pada tahun 2015, walaupun 2015 sudah melabuhkan separuh tirainya. Kekangan kerja di pejabat, maklumlah hujung tahun audit berlarutan hingga ke bulan Mac. Tak cukup auditor luar, auditor dalaman pun menyibukkan diri nak audit kami juga. GST dan sistem baru Takaful yang dilahirkan pada tarikh keramat 1 April 2015 juga tidak kurang hebat juga penangannya. Prinsip saya senang, dah sain kontrak waktu kerja 8.30 hingga 5.30. Tiba 5.30  tugas saya sebagai seorang pekerja tamat dan berubah  menjadi seorang ibu dan isteri. Bosan sungguh.....

Sebenarnya saya masih mencari apa lagi yang boleh saya capai dalam hidup ini. Saya perlu tambah kemahiran dalam diri ini. Kemahiran yang boleh mendatangkan hasil di samping dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada anak-anak. Saya perlu mula dengan bermula sebagai bekerja sendiri separuh masa, bukan isteri separuh masa ye. Kemahiran jahitan memang ada tetapi main belasah je tanpa ada formal kelas. Dalam banyak-banyak jahitan saya rasa saya paling suka langsir. Tak banyak kerenah sebab saiz yang sama walaupun kainnya besar. Berbanding dengan jahit baju, kena tengok design, badan orang dan lain-lain.

Kali ni kena melabur sikitlah nak dapatkan ilmu dan teknik yang betul dalam menjahit langsir. Mulalah survey  kelas langsir. Ada offline dan ada juga online. Nak online macam tak percaya je sebab bagi saya kemahiran biarlah hands on supaya boleh nampak caranya di depan mata dan cikgu boleh tegur  mana yang salah. Akhirnya saya memilih Kelas Langsir Cara Mudah yang bertempat di Sri Kembangan. Diajar oleh Cikgu Rogayah yang tidak lokek dengan ilmu dan tip- tip jahitan. 

Dengan bayaran yang berpatutan saya diajar 15 jenis langsir. Alhamdulillah teknik yang diajar juga mudah dan senang difahami. 5 kali menghadiri kelas, dah pandai sikit kut. Hehehe. Masuk bakul angkat sendiri nampak. Tetapi kena ingat ye ini adalah kemahiran, perlu praktis, jika tidak mesti lupa segala ilmu dan formula yang diajar.
Bersama Cikgu Rogayah dan kawan- kawan sekelas. 
Di antara hasil jahitan saya semasa proses pembelajaran:-

Langsir Eyelet
Pelmet,Loose Scallop, dan Riben
Pelmet, Losse Scallop dan Bunga
Royal Scallop, Tie dan Tail

Langkah kedua buat page. Dalam page ni saya ada menawarkan servis tempahan langsir dan juga menjual langsir siap. Dalam page ini saya gabungkan kemahiran menjahit langsir dan dropship langsir. Jomlah like page saya Langsir Curtain Online.

https://www.facebook.com/Langsir-Curtain-Online- 1420841211565109/

Saya berharap Allah mudahkan urusan saya. Tengoklah mana tahu ada rezeki saya dalam bidang langsir ni, bolehlah impian saya untuk bekerja dari rumah tercapai. Amin ya Rabbal Alamin

Doakan saya ye untuk mencapai impian saya.


Sabtu, 1 November 2014

Apa itu dropship

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Biasa tak dengar perkataan dropship? Pada mulanya saya sendiri pun tidak memahami apa itu dropship. Sejak terlibat dengan ABDR barulah saya tahu apa itu dropship. Dropship adalah salah satu cara bagi peniaga yang masih baru berjinak-jinak dengan bidang perniagaan tanpa mengeluarkan modal pun. Cara mudah guna air liur je sebagai modal, tapi tu cara lama. Cara yang moden kita boleh pasarkan produk menggunakan facebook, blog, instagram dan pelbagai lagi media sosial.

Si peniaga yang menyediakan produk dipanggil dropshipper. Manakala peniaga yang memasarkan produk dipanggil agen. Bayaran pendaftaran dicaj bergantung kepada dropshipper. Ada juga yang percuma. Kebaikan dropship kepada agen ialah agen tidak perlu mengeluarkan modal untuk membeli dan menyimpan stok. Mereka hanya perlu membuat aktiviti pemasaran dengan pelbagai cara seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Apabila mendapat pesanan dari pelanggan, agen hanya perlu memberi maklumat pesanan dan butir-butir pelanggan. Pelanggan akan membayar kepada agen amaun termasuk jumlah keuntungan agen. Selepas agen membayar bayaran kepada dropshipper, segala urusan pengeposan akan diuruskan oleh dropshipper.

Sebagai agen, kita perlu mengambil tahu kebaikan dan keburukan produk yang akan kita pasarkan. Ini untuk memudahkan kita jika ada pertanyaan dari bakal pelanggan tentang produk tersebut seterusnya mengelakkan kita dari memberi maklumat yang tidak betul. Ia juga penting dalam membina kepercayaan pelanggan terhadap produk dan peniaga. Jika mereka senang berurusan dengan kita ianya juga adalah taktik promosi percuma apabila mereka memperkenalkan pelanggan baru kepada kita.

Sabtu, 20 September 2014

Pengalaman Membeli Belah Secara Online

Teks :Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca budiman. Hari ni nukilan berkisar pengalaman saya membeli belah secara online. Tak dinafikan perasaan cuak tu memang ada semasa melakukan transaksi. Di antaranya,betul ke penjual ni wujud? Silap-silap barang tak sampai.Macam mana pula dengan kualiti barang yang akan diterima? Kalau tak elok redho jelah sebab dah bayar.

Barang pertama yang dibeli adalah pemerah susu Avent. Sewaktu anak kedua, saya baru terdedah dengan ilmu penyusuan susu badan. Ingat lagi masa tu baru masuk kerja selepas habis cuti bersalin. Kebetulan pula saya baru berpindah lokasi kerja. Rupanya ramai rakan seangkatan yang menyusukan badan secara ekslusif. Saya pun teringin juga, tetapi nak beli pemerah susu yang baru agak mahal dan saya pun tak pasti boleh ke susu badan ni melimpah ruah. Saya pun ambil keputusan cari yang terpakai sahaja. Melalui laman web susuibu.com,saya bertemu dangan penjual itu. Siap beli sekali tempat menseteril botol susu.

Setelah berjaya mengempam manual, jari ni gatal nak beli pam susu elektrik pula. Bukan apa, bila pakai manual kena memerah di surau, bos pun dah jeling-jeliang. Yang menariknya beli onlne ni kita boleh survey harga dan bandingkan yang mana murah tanpa perlu menghabiskan masa, tenaga, petrol dan bayaran letak kereta. Bnayak kedai online yang membuat jualamn murah.Dan yang penting bila beli barang elektrik, pastikan ia ada jaminan dan perkhidmatan selepas jualan.

Saya ada juga membeli baju secara online. Tetapi walaupun ada ukuran diletakkan supaya kita boleh memilih saiz yang bersesuaian, kadang-kadang tak puas hati juga sebab design baju itu juga merupakan faktor selesa atau tidak baju tersebut. Selain itu, warna juga tidak sama seperti di dalam web, mungkin disebabkan teknik pengeditan gambar yang membuatkan baju itu indah khabar dari rupa. Kualiti kain juga kadang-kadang berbeza dengan apa yang dijanjikan. Disebabkan itu saya tidak suka membeli baju secara online.

Akhir-akhir ini, sejak aktif bermuka buku, saya lebih terdedah  kepada ujian membeli secara online. Pengalaman ditipu ada juga. Saya dijanjikan barangan percuma bila membeli acuan kuih tersebut. Tetapi bila sampai takde pun barang percuma yang dijanjikan. Bila ditanya, boleh pula penjual tu mengatakan yang barang itu dibalut oleh suaminya dan membuat alasan suaminya terlupa. Nasib baik dia minta maaf tetapi agak terkilan juga.Selain itu ada juga pesanan yang dibuat tak sampai-sampai sehingga saya terpaksa mengugut penjual untuk memulangkan wang saya. Akhirnya barang sampai tetapi warna pula berbeza.Malas nak bertekak nanti kalau dipulangkan  entah berapa lama lagi barang gantian nak sampai.

Selain itu, saya juga ada membeli barang di Lazada.com. Memang menarik kerana response dan penghantaran yang cepat. Web tersebut mempunyai sistem yang canggih di mana pembeli akan dimaklumkan pengesahan pesanan, makluman nombor pesanan dan bila barang akan dihantar melalui emel dan juga sms. Selain itu ada 3 cara bayaran iaitu tunai semasa pembayaran, kredit kad dan pemindahan wang. Terdapat juga jaminan barang diganti jika terdapat kerosakan. Dan yang paling menarik perkhidmatan khidmat pelanggannya yang mesra pengguna dan tiada caj penghantaran! Bagi saya ini yang paling menarik sebab biasanya belian secara online pasti ada caj bayaran paling kurang RM6. Siap simpan lagi applicationnya dalam telefon, saja nak jamu mata, kalau iman tak kuat habislah duit dalam akaun.

Memang ada baik buruknya belian secara online ni. Terpulanglah pada kita untuk menilainya. Pengalaman sebagai pembeli online sudah banyak, tetapi sebagai penjual online masih belum ada. Sebab itu saya menyertai kumpulan ABDR supaya dapat diberi tunjuk ajar  untuk menjana pendapatan. Insyallah doakan impian sya ini termakbul juga satu hari nanti.

Salam sayang, 
Munirah Abdul Hamid

Sabtu, 13 September 2014

Agungnya Kasih Ibu

Teks: Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Apa khabar? Moga hari ini dipenuhi dengan memori indah dan jika yang pahit sekalipun jadikan ianya suatu yang positif untuk mengatasi segala kelemahan kita di masa hadapan. Jika lakukan kesalahan, jangan malu untuk meminta maaf jika sesama manusia, dan mohon ampun jika bersalah kepada Allah S.W.T. Hari ni semasa saya membuat pembersihan email (betul ke ayat ini?) saya terjumpa satu email lama yang dikirim rakan. Kisah sedih menyayat hati ini membuatkan saya mengalirkan air mata setiap kali membacanya. Ianya menginsafkan saya tentang kejamnya manusia terhadap haiwan dan agungnya kasih ibu terhadap anaknya, walaupun hanya seekor monyet. Kebelakangan ini, banyak dipaparkan di dada akhbar tentang berita pembuangan bayi di longkang, di tempat sampah dan sebagainya, seumpama nyawa anak yang dikandung selama 9 bulan itu tiada nilainya. Bandingkan manusia seperti ni berbanding monyet yang akan saya ceritakan. Pasti kita akan malu sendiri kerana gagalnya kita menjalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Kepada penulisnya, saya minta izin untuk saya kongsikan di blog ini untuk diambil iktibar dan pemgajaran. Selamat membaca.

Walaupun hanya seekor monyet...

Pembaca budiman, 

Maafkan saya kerana tidak pandai mengarang. Saya bukan penulis. Apa yang ingin saya kongsikan hanyalah cerita tentang monyet, haiwan yang sering menjadi bahan sendaan kita, bukan tentang wang, saham, barang kemas, kekasih yang jelita mahupun banglo besar. Saya tidak bijak bercerita tentang itu.

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui Hutan Bendul di Kuala Pilah, nun di depan mata saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta. 

Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.
Tapi paling menyentak perasaan saya, apabila melihat perutnya yang buncit itu, terserlah di sebalik luka yang besar itu sesuatu yang berwarna kelabu. Tahukah pembaca apa yang saya lihat itu?

Ianya adalah anak di dalam kandungannya!

Pada masa itu tubuh saya begitu gementar. Saya pasti yang monyet itu akan mati tidak lama lagi. Begitu juga anak di dalam kandungannya itu, nayawanya melayang sebelum sempat melihat muka ibunya.Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Kawanan monyet itu berlari-lari mendapatkan ibu monyet itu, tetapi berlari semula ke tepi jalan takut dilanggar oleh kereta yang lalu lalang di situ. 

Mungkin bagi pembaca ia hanya seekor monyet. Haiwan hodoh yang hidup di hutan, tidak setaraf dengan manusia.Tetapi tidak kepada saya. Perkara itu mengingatkan saya satu peristiwa yang saya alami awal tahun 90an dulu. 

Pembaca budiman,

Pada ketika itu usia saya awal 20an. Saya mengikuti pakcik pergi berburu di hutan memandangkan tiada apa yang boleh dibuat untuk mengisi masa lapang. Masih saya ingat, setelah setengah hari memburu, masih tiada tangkapan dibuat. Pelanduk, napuh, rusa semuanya bagaikan bersembunyi dari kami. Hutan itu sepi. 

Saya nampak kekecewaan di muka pakcik. Dengan nada perlahan dia mengajak saya pulang, mungkin hari tersebut tiada rezeki kami. Sedang perjalanan pulang, kami terdengar bunyi suara kawanan monyet sedang menikmati buah-buahan hutan. Pakcik tersenyum lebar sambil berkata "Haa, pakcik nak tembak ibunya dan anaknya boleh kita ambil dan bela" dan terus menghalakan senapangnya ke arah monyet tersebut.

DAMMM
Terdengarkan bunyi senapang, kawanan monyet itu bertempiaran lari menyelamatkan diri masing- masing. Hutan yang sunyi sepi tadi bertukar riuh rendah dengan bunyi ranting patah dan suara monyet -monnyet itu.

BUPPP. Ada satu benda jatuh ke tanah. 

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berhampiran kami. Tanpa membuang masa kami bergegas mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang masih kecil terlepas dari pelukannya terjatuh di bawah pokok tidak jauh dari kami sambil menjerit-jerit. 

Si ibu menrengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan memegang akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekup perutnya yang dipenuhi darah.ia berusaha melangkah tetapi terjatuh semula. Digagahi juga sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan bangun mendapatkan ibunya. Si anak terus saja memeluk ibunya yang kesakitan.Masih jelas di ingatan saya si ibu mambalas erat pelukan anaknya sambil menciumnya berkali-kali seolah-olah ia tahu yang ia tidak akan bertemu lagi dengan anaknya. Ibu tidak akan dapat lagi memelukmu semasa kamu kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, dan juga melindungimu bila kau kepanasan.

Mata si ibu sayu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat anaknya seolah-olah biarlah ia mati bersama anaknya. Matanya digenangi air mata dan tidak lepas memandang kami seolah-olah ingin memberitahu kami betapa kejamnya manusia. Apakah dosa yang aku lakukan sehingga aku ditembak? Salahkan aku bebas berlari ke sana kemari di bumi cipataan Allah ini? 

Tubuh si ibu berlumuran darah. Begitu juga anak di dalam pelukannya. Dengan saki baki tenaga yang ada dia mencium anaknya buat kali terakhir. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ke tanah tidak berdaya menanggung bisa peluru senapang.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan lari dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, akhirnya si anak tadi menyusu semula. 

Di saat itu, perasaan saya sangat sebak. Saya lihat pakcik beberapa kali mengetap bibir menahan air mata dari mengalir keluar.Tapi bila melihat si anak menjerit-jerit memanggil ibunya, air mata kami tumpah jua. Kami betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Suasana sunyi kembali. Si anak kami rangkul biarpun ia terjerit-jerit tidak mahu berpisah dengan ibunya yang sudah mati.

Di dalam kereta kami mendiamkan diri. Pada ketika itu saya rasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Walaupun hanya seekor monyet yang hodoh, mereka punya perasaan, rasa sayang terhadap  anak dan juga rasa sayang terhadap ibunya. 

Tapi kita manusia ...? Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian anak monyet itu mengikut jejak ibunya. Pakcik memberitahu yang ia tidak mahu makan dan hanya terjerit-jerit sahaja. Mungkin rindukan ibunya.Apabila malam, keadaannya bertambah teruk dan terus mati. 

Kini saya sudah bekerja dan berumahtangga. Peristiwa itu  saya ceritakan kepada anak dan isteri supaya mereka mengerti yang haiwan juga punya perasaan.Yang kejam adalah manusaia, walaupun kita adalah satu makhluk yang dikurniakan akal fikiran.Tidak lupa juga saya memberitahu betapa agung dan sucinya kasih ibu.

Pakcik? Dia sudah jarang memburu. Jika berjumpa kawanan monyet pun, dia tidak akan menembaknya.





Ahad, 7 September 2014

Menyemai Benih Pahala Sebelum Ajal Menjemput

Teks: Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Hari ni nukilan tentang menyemai benih pahala sebelum ajal menjemput. Bila sebut tentang benih mestilah kita mahukan benih yang subur yang dapat menghasilkan bunga atau buah yang dapat kita petik bila tiba masanya nanti. Begitu juga diibaratkan dengan hidup kita. Semasa kita hidup di dunia inilah, kita mesti menyemai benih-benih yang subur supaya ianya  bercambah dan hasilya nanti dikutip di akhirat dalam bentuk pahala. Selalu ingat ye, apabila matinya anak Adam , akan terputuslah pahala amal kebaikan kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan juga sedekah jariah. Tetapi tidak semua orang mampu buat semuanya. Jika ditakdirkan ajal menjemput semasa hidupnya bujang atau baru berkahwin  dan belum dikurniai cahaya mata , sudah tentu tiada doa anak yang soleh buatnya. Begitu juga dengan ilmu yang bermanfaat, yang mana tidak semua orang mampu menyampaikan ilmu yang dipelajari. 

Perkara ketiga sudah pasti semua orang mampu membuatnya, cuma bezanya sedit atau banyak, selalu atau jarang-jarang.Ianya adalah  benih yang Allah janji akan lipat kali gandakan pahalanya sebanyak 7 kali ganda. Wah itu pelaburan yang tiada tandingannya dengan semua pelaburan yang ada di dunia ini. Sedekah bukanlah perkara yang mudah kerana kita perlukan mujahadah yang tinggi untuk berpisah dengan harta. Walaupun sedekah adalah perkara sunat, yang mana buat dapat pahala, tak buat tak berdosa. Sedekah adalah pemberian kepada Rabnya. Contohnya para sahabat yang  melihat sedekah  adalah pemberian kepada Allah, bukan kepada sesama manusia. Abu Bakar as Siddiq menyerahkan semua hartanya ke jalan Allah. 

Imbas kembali, kita ni dah sedekah dengan Astro berapa lama? Tambah lagi sedekah dengan tambah channel. Paling sedikit amaun yang dicaj adalah RM39.95.Tapi bayangkan amaun yang sama mahu disedekahkan ke masjid, pasti amat sukar. Ada satu bisikan yang membisikkan kepada kita supaya ragu-ragu dalam membuat sedekah seperti tiada duit kecil yag akhirnya sampai ke sudah tidak buat. Apa salahnya sebagaimana kita istiqamah membayar bil Astro, seharusny a perkara yang sama juga dilakukan dalam bab sedekah.

Sedekah orang miskin adalah sedekah paling afdhal. Rasa susah jangan jadikan alasan untuk tidak bersedekah. Biar amaunnya sedikit asalkan amalannya berterusan. Peluang pahala membuat sedekah Allah sentiasa bagi, seperti bila kita keluar bank ada orang minta sedekah atau sedang kita makan ada orang buta minta sedekah. Apa yang terlintas di hati kita , aku tak nak sedekah kepada orang macam ni, mungkin mereka didalangi sindiket, baik sedekah kepada institusi yang dipercayai. Lalu kita pun berlalu pergi tanpa satu sen pun disedekahkan. Atau jika sedekah pun dengan not amaun yang paling kecil di dalam dompet kita. Masalahnya niat bersedekah itu hanya terkubur di situ sahaja tanpa kita realisasikan. 

Sedekah kepada kaum kerabat dapat 2 pahala iaitu pahala sedekah dan pahala merapatkan silaturrahim. Sedekah yang paling baik ialah sedekah belanja orang makan sebab biasanya sukar untuk kita ungkit semula dalam bentuk amaun. Sedekah yang paling senang adalah dengan memberi senyuman, kalau tak takkan ada pepatah senyum itu sedekah. Sedekah juga dapat memanjangkan usia dan menolak musibah dan menyembuhkan penyakit. 


Oleh itu, ingatlah bila- bila  masa Allah boleh cabut nyawa kita. Ingatan kepada saya dan pembaca, kita kena sentiasa bersedia meyuburkan benih yang kita tanam di dunia ini supaya dapat kita tuai hasilnya di sana nanti. Insyallah..

Moga ilmu yang dikongsi bermanfaat untuk semua.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid.

Sabtu, 6 September 2014

Bajet? Perlu Ke?

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Hari ni nak cerita pasal bajet, maklumlah bajet negara pun akan dibentangkan tak lama lagi. Bagi yang makan gaji seperti saya, hujung bulan adalah masa yang paling ditunggu-tunggu. Duit gaji masih belum masuk ke akaun, tapi dalam kepala dah macam-macam rancangan nak belanjakan duit gaji tersebut. Itupun kira bajet juga kan.Tapi awas ye jika terlebih bajet, padahnya belum sampai hujung bulan poket dah tinggal habuk. Lainlah yang bekerja sendiri, sama ada selalu masuk atau tak masuk-masuk.  Apa pun yang ingin saya kongsikan di sini adalah kepentingan bajet itu sendiri dalam membantu pengurusan kewangan seharian kita. 

Kebiasaannya di organisasi-organisasi besar, bajet telah dibuat awal setahun. Ianya berfungsi sebagai penunujuk arah dan tanda aras yang mahu dicapai dalam tempoh bajet tersebut.  Contohnya dalam jualan, berapa jumlah jualan yang kita sasarkan setahun. Bahagikan kepada 4 bulan di mana kita boleh menyemak setiap empat bulan sekali adakah kita di dalam trek yang betul untuk mencapai jumlah jualan yang telah ditetapkan. Begitu juga digunakan dalam urusan perbelanjaan.

Kita ke skop yang lebih kecil, iaitu bajet untuk diri sendiri atau keluarga. Suami telah menyerahkan tugas berbelanja kepada saya, jadi mudahlah sikit nak nuat bajet bulanan. Di bawah adalah contoh bajet bulanan saya :-

Gaji                                                                                              XXXX
PERBELANJAAN TETAP
Ansuran Rumah                                                       XXX
Ansuran Kereta                                                        XXX
Bil Utiliti                                                                  XXX
Yuran Asuhan Anak                                                XXX
Yuran tadika & tambang Bas                                   XXX
Insuran takaful                                                         XXX
Simpanan Kecemasan                                              XXX
Belanja rumah & anak                                             XXX
Minyak                                                                    XXX            (XXX)


PERBELANJAAN MUDAH ALIH
Hiburan                                                                   XXX 
Melancong                                                              XXX
Gajet tambahan                                                       XXX
Makan luar                                                             XXX            (XXX)   
Lebihan/(Defisit)                                                                         YYY      

Perbelanjaan tetap adalah perbelanjaan bulanan yang wajib dibayar. Jika tiada disiplin dan istiqamah, maka akan huru haralah hidup kerana dikejar si penghutang.  Saya masukkan simpanan dan insuran sebagai perbelanjaan tetap sebagai payung di masa hadapan jika terjadinya perkara yang kita tidak ingini di masa hadapan. Biasanya saya akan pastikan perbelanjaan tetap dibayar dahulu semasa gaji diperolehi. Manakala perbelanjaan mudah alih boleh diubah amaunnya mengikut berapa lebihan gaji setelah ditolak perbelanjaan tetap. Biasanya perbelanjaan mudah alih ini lebih bersifat seperti kehendak berbanding pebelanjaan tetap yang merupakan keperluan asas hidup. 

Bergantung kepada kita, jika nak perbelanjan mudah alih lebih, kenalah cari pendapatan tambahan. Jika tidak pun , berjimatlah mana yang patut. 

Sekian, salam sayang, 
Munirah Abdul Hamid