Rabu, 20 Ogos 2014

Prihatinkah Kita?

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Nukilan hari ini sambungan dari entri sebelum ini. Masih lagi berkaitan dengan haiwan. Saya pun tak sangka banyak rupanya iktibar yang boleh kita jadikan pengajaran dari cerita haiwan ini. Ceritanya seperti di bawah:-

Pada zaman dahulu ada seekor tikus tinggal di rumah seorang peladang. Sudah menjadi adat, pasti si tikus ini banyak merosakkan hasil tanaman si peladang lalu membuatkan si peladang berfikir bagaimana caranya untuk membunuh tikus itu. Akhirnya si peladang telah memasang perangkap tikus. Si tikus pun susah hati lalu berjumpa dengan ayam untuk bertanya pendapat ayam. " Alah, perangkap tikus je, Kau jauhkanlah diri kau dari perangkap tu" kata ayam sambil berlalu pergi. 

Tikus tidak berpuas hati dengan jawapan ayam lalu pergi berjumpa dengan kambing untuk bertanyakan pendapatnya. "Kau banyaklah berdoa supaya perangkap tu tak berjaya perangkap kau" kata kambing sambil berlalu pergi. Tikus masih tidak berpuas hati lalu berjumpa dengan lembu. Fikirnya lembu lebih besar dari ayam dan kambing, tentu boleh beri pendapat yang lebih bernas. " Itu kan perangkap tikus, tiada kaitan pun dengan aku" jawab si lembu. Lagi tak boleh pakai. Sedang tikus bersedih hati memikirkan kebarangkalian besar dirinya dijemput maut, tikus terdengar jeritan kuat isteri peladang. Rupa-rupanya  kaki isteri peladang telah dipatuk seekor ular sebelum si ular terkena perangkap tikus itu.

Isteri peladang jatuh sakit dan demam yang tidak kebah-kebah. Fikir si peladang orang sakit kena makan makanan berkhasiat, lalu dia pun menyembelih ayam untuk dijadikan sup bagi merawat isterinya. Dalam masa yang sama, berita isteri peladang dipatuk ular tersebar ke serata kampung. lalu ramailah penduduk kampung datang melawat nya. Disebabkan itu, peladang telah menyembelih kambing untuk dibuat kari bagi dihidangkan kepada penduduk kampung yang datang melawat isterinya. Selang beberapa hari kemudian, isterinya pun meninggal dunia. Si lembu pula disembelih untuk dibuat lauk kenduri tahlil arwah isterimya. Akhirnya tinggallah tikus meneruskan hidupnya. 

Apakah iktibar yang kita dapat ambil dari cerita di atas?

Dalam masyarakat kita gejala sosial seperti  pembuangan bayi, masalah dadah dan lain-lain yang dirasakan semakin hari semakin meruncing. Kita sebagai ahli masyarakat tidak boleh berfikiran seperti ayam, kambing dan lembu yang mana tidak mahu langsung mengambil tahu masalah si tikus. Asalkan diri mereka terlepas dari bahaya kerana perangkap dipasang peladang adalah untuk si tikus, bukan untuk mereka. Tetapi akhirnya mereka juga yang menjadi mangsa kerana ketidakprihatinan mereka kepada masalah si tikus. Begitu juga diri kita. Jika kita rasakan masalah sekeliling kita tiada kaitan dengan kita maka kita pun buat endah tak endah. Mana tahu disebabkan sifat tidak ambil tahu kita akan menggadaikan masa depan waris kita di masa hadapan.  

Contoh yang paling mudah adalah bagaimana respon kita kepada penderitaan penduduk sesama Islam kita di Gaza. Hari ini mereka ditindas oleh Israel Laknatullah seolah-olah nyawa penduduk Palestin tiada nilainya. Memang kita tidak mampu mengangkat senjata, namun kita boleh menyertai kempen memboikot produk Israel bagi melemahkan ekonomi mereka. Jangan lupa keluarkan sedikit rezeki yang Allah beri untuk didermakan kepada penduduk Palestin. Paling tidak pun tak payah keluarkan modal, cuma dermakan sedikit masa untuk berdoa supaya perjuangan penduduk Palestin berjaya. 

Oleh itu, mari tambah sikap prihatin kepada keadaan sekeliling kita, tapi janga pula terlalu prihatin sampai dalam kain orang pun kita ambil tahu. Jumpa lagi di lain lembaran.....

Salam Sayang, Munirah Abdul Hamid

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan