Ahad, 17 Ogos 2014

Iktibar Dari Burung dan Cacing

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Malam minggu yang sunyi tetapi mata masih belum mahu dibuai mimpi lalu teringat saya satu kisah yang didengar di radio. Setiap pagi semasa memandu,  saya mendengar slot motivasi pagi di Ikim fm. Menariknya minggu ini penceramahnya banyak menggunakan haiwan sebagai ikon untuk manusia ambil iktibar.

Haiwan pertama adalah burung. Cuba kita perhatikan setiap pagi burung akan keluar dari sarangnya mencari makanan sama ada untuk dirinya atau untuk anak-anak yang menanti di sangkar. Burung tidak pernah putus asa walau terpaksa terbang jauh. Bayangkan satu hari yang sedih untuknya dahlah tiada makanan, bila balik ke sangkar anak-anaknya sudah tiada atau sarangnya rosak angkara manusia. Burung akan membina sarang yang baru tanpa kenal erti putus asa. Burung terpaksa berlapar hari itu dan esoknya keluar lagi mencari rezeki tanpa kenal erti jemu.

Haiwan kedua adalah cacing. Cacing jika dibandingkan dengan manusia 100% memang kurang upaya.  Cacing tiada mata, untuk melihat, tiada kaki dan tangan untuk bekerja namun pernahkah kita lihat cacing menghantuk-hantuk kepala ke dinding atau menenggelamkan diri di dalam air supaya mati kerana kekurangan diri. Tidak bukan sebaliknya cacing akan terus hidup dengan segala kekurangan diri ditukar menjadikannya kelebihan untuk meneruskan survival hidupnya.

Iktibar yang dapat kita ambil dari 2 haiwan di atas, sebagai khalifah Allah di muka bumi ini kita tidak boleh berputus asa dalam apa jua cabaran dan dugaan yang datang menimpa. Setiap hari mendatang hendaklah dimulai dengan fikiran positif tanpa ada perkataan jemu. Bersyukurlah dengan nikmat lengkap anggota badan yang Allah kurniakan. Gunakan ia ke jalan kebaikan supaya taraf kehidupan dapat dipertingkatkan. Nukilan ini bukan untuk pembaca sahaja tetapi untuk diri saya manusia biasa yang sentiasa lupa dan perlu suntikan motivasi.

Moga termotivasi selalu....
Selamat malam....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan