Sabtu, 13 September 2014

Agungnya Kasih Ibu

Teks: Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Apa khabar? Moga hari ini dipenuhi dengan memori indah dan jika yang pahit sekalipun jadikan ianya suatu yang positif untuk mengatasi segala kelemahan kita di masa hadapan. Jika lakukan kesalahan, jangan malu untuk meminta maaf jika sesama manusia, dan mohon ampun jika bersalah kepada Allah S.W.T. Hari ni semasa saya membuat pembersihan email (betul ke ayat ini?) saya terjumpa satu email lama yang dikirim rakan. Kisah sedih menyayat hati ini membuatkan saya mengalirkan air mata setiap kali membacanya. Ianya menginsafkan saya tentang kejamnya manusia terhadap haiwan dan agungnya kasih ibu terhadap anaknya, walaupun hanya seekor monyet. Kebelakangan ini, banyak dipaparkan di dada akhbar tentang berita pembuangan bayi di longkang, di tempat sampah dan sebagainya, seumpama nyawa anak yang dikandung selama 9 bulan itu tiada nilainya. Bandingkan manusia seperti ni berbanding monyet yang akan saya ceritakan. Pasti kita akan malu sendiri kerana gagalnya kita menjalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Kepada penulisnya, saya minta izin untuk saya kongsikan di blog ini untuk diambil iktibar dan pemgajaran. Selamat membaca.

Walaupun hanya seekor monyet...

Pembaca budiman, 

Maafkan saya kerana tidak pandai mengarang. Saya bukan penulis. Apa yang ingin saya kongsikan hanyalah cerita tentang monyet, haiwan yang sering menjadi bahan sendaan kita, bukan tentang wang, saham, barang kemas, kekasih yang jelita mahupun banglo besar. Saya tidak bijak bercerita tentang itu.

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui Hutan Bendul di Kuala Pilah, nun di depan mata saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta. 

Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.
Tapi paling menyentak perasaan saya, apabila melihat perutnya yang buncit itu, terserlah di sebalik luka yang besar itu sesuatu yang berwarna kelabu. Tahukah pembaca apa yang saya lihat itu?

Ianya adalah anak di dalam kandungannya!

Pada masa itu tubuh saya begitu gementar. Saya pasti yang monyet itu akan mati tidak lama lagi. Begitu juga anak di dalam kandungannya itu, nayawanya melayang sebelum sempat melihat muka ibunya.Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Kawanan monyet itu berlari-lari mendapatkan ibu monyet itu, tetapi berlari semula ke tepi jalan takut dilanggar oleh kereta yang lalu lalang di situ. 

Mungkin bagi pembaca ia hanya seekor monyet. Haiwan hodoh yang hidup di hutan, tidak setaraf dengan manusia.Tetapi tidak kepada saya. Perkara itu mengingatkan saya satu peristiwa yang saya alami awal tahun 90an dulu. 

Pembaca budiman,

Pada ketika itu usia saya awal 20an. Saya mengikuti pakcik pergi berburu di hutan memandangkan tiada apa yang boleh dibuat untuk mengisi masa lapang. Masih saya ingat, setelah setengah hari memburu, masih tiada tangkapan dibuat. Pelanduk, napuh, rusa semuanya bagaikan bersembunyi dari kami. Hutan itu sepi. 

Saya nampak kekecewaan di muka pakcik. Dengan nada perlahan dia mengajak saya pulang, mungkin hari tersebut tiada rezeki kami. Sedang perjalanan pulang, kami terdengar bunyi suara kawanan monyet sedang menikmati buah-buahan hutan. Pakcik tersenyum lebar sambil berkata "Haa, pakcik nak tembak ibunya dan anaknya boleh kita ambil dan bela" dan terus menghalakan senapangnya ke arah monyet tersebut.

DAMMM
Terdengarkan bunyi senapang, kawanan monyet itu bertempiaran lari menyelamatkan diri masing- masing. Hutan yang sunyi sepi tadi bertukar riuh rendah dengan bunyi ranting patah dan suara monyet -monnyet itu.

BUPPP. Ada satu benda jatuh ke tanah. 

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berhampiran kami. Tanpa membuang masa kami bergegas mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang masih kecil terlepas dari pelukannya terjatuh di bawah pokok tidak jauh dari kami sambil menjerit-jerit. 

Si ibu menrengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan memegang akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekup perutnya yang dipenuhi darah.ia berusaha melangkah tetapi terjatuh semula. Digagahi juga sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan bangun mendapatkan ibunya. Si anak terus saja memeluk ibunya yang kesakitan.Masih jelas di ingatan saya si ibu mambalas erat pelukan anaknya sambil menciumnya berkali-kali seolah-olah ia tahu yang ia tidak akan bertemu lagi dengan anaknya. Ibu tidak akan dapat lagi memelukmu semasa kamu kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, dan juga melindungimu bila kau kepanasan.

Mata si ibu sayu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat anaknya seolah-olah biarlah ia mati bersama anaknya. Matanya digenangi air mata dan tidak lepas memandang kami seolah-olah ingin memberitahu kami betapa kejamnya manusia. Apakah dosa yang aku lakukan sehingga aku ditembak? Salahkan aku bebas berlari ke sana kemari di bumi cipataan Allah ini? 

Tubuh si ibu berlumuran darah. Begitu juga anak di dalam pelukannya. Dengan saki baki tenaga yang ada dia mencium anaknya buat kali terakhir. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ke tanah tidak berdaya menanggung bisa peluru senapang.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan lari dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, akhirnya si anak tadi menyusu semula. 

Di saat itu, perasaan saya sangat sebak. Saya lihat pakcik beberapa kali mengetap bibir menahan air mata dari mengalir keluar.Tapi bila melihat si anak menjerit-jerit memanggil ibunya, air mata kami tumpah jua. Kami betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Suasana sunyi kembali. Si anak kami rangkul biarpun ia terjerit-jerit tidak mahu berpisah dengan ibunya yang sudah mati.

Di dalam kereta kami mendiamkan diri. Pada ketika itu saya rasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Walaupun hanya seekor monyet yang hodoh, mereka punya perasaan, rasa sayang terhadap  anak dan juga rasa sayang terhadap ibunya. 

Tapi kita manusia ...? Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian anak monyet itu mengikut jejak ibunya. Pakcik memberitahu yang ia tidak mahu makan dan hanya terjerit-jerit sahaja. Mungkin rindukan ibunya.Apabila malam, keadaannya bertambah teruk dan terus mati. 

Kini saya sudah bekerja dan berumahtangga. Peristiwa itu  saya ceritakan kepada anak dan isteri supaya mereka mengerti yang haiwan juga punya perasaan.Yang kejam adalah manusaia, walaupun kita adalah satu makhluk yang dikurniakan akal fikiran.Tidak lupa juga saya memberitahu betapa agung dan sucinya kasih ibu.

Pakcik? Dia sudah jarang memburu. Jika berjumpa kawanan monyet pun, dia tidak akan menembaknya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan