Ahad, 7 September 2014

Menyemai Benih Pahala Sebelum Ajal Menjemput

Teks: Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Hari ni nukilan tentang menyemai benih pahala sebelum ajal menjemput. Bila sebut tentang benih mestilah kita mahukan benih yang subur yang dapat menghasilkan bunga atau buah yang dapat kita petik bila tiba masanya nanti. Begitu juga diibaratkan dengan hidup kita. Semasa kita hidup di dunia inilah, kita mesti menyemai benih-benih yang subur supaya ianya  bercambah dan hasilya nanti dikutip di akhirat dalam bentuk pahala. Selalu ingat ye, apabila matinya anak Adam , akan terputuslah pahala amal kebaikan kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan juga sedekah jariah. Tetapi tidak semua orang mampu buat semuanya. Jika ditakdirkan ajal menjemput semasa hidupnya bujang atau baru berkahwin  dan belum dikurniai cahaya mata , sudah tentu tiada doa anak yang soleh buatnya. Begitu juga dengan ilmu yang bermanfaat, yang mana tidak semua orang mampu menyampaikan ilmu yang dipelajari. 

Perkara ketiga sudah pasti semua orang mampu membuatnya, cuma bezanya sedit atau banyak, selalu atau jarang-jarang.Ianya adalah  benih yang Allah janji akan lipat kali gandakan pahalanya sebanyak 7 kali ganda. Wah itu pelaburan yang tiada tandingannya dengan semua pelaburan yang ada di dunia ini. Sedekah bukanlah perkara yang mudah kerana kita perlukan mujahadah yang tinggi untuk berpisah dengan harta. Walaupun sedekah adalah perkara sunat, yang mana buat dapat pahala, tak buat tak berdosa. Sedekah adalah pemberian kepada Rabnya. Contohnya para sahabat yang  melihat sedekah  adalah pemberian kepada Allah, bukan kepada sesama manusia. Abu Bakar as Siddiq menyerahkan semua hartanya ke jalan Allah. 

Imbas kembali, kita ni dah sedekah dengan Astro berapa lama? Tambah lagi sedekah dengan tambah channel. Paling sedikit amaun yang dicaj adalah RM39.95.Tapi bayangkan amaun yang sama mahu disedekahkan ke masjid, pasti amat sukar. Ada satu bisikan yang membisikkan kepada kita supaya ragu-ragu dalam membuat sedekah seperti tiada duit kecil yag akhirnya sampai ke sudah tidak buat. Apa salahnya sebagaimana kita istiqamah membayar bil Astro, seharusny a perkara yang sama juga dilakukan dalam bab sedekah.

Sedekah orang miskin adalah sedekah paling afdhal. Rasa susah jangan jadikan alasan untuk tidak bersedekah. Biar amaunnya sedikit asalkan amalannya berterusan. Peluang pahala membuat sedekah Allah sentiasa bagi, seperti bila kita keluar bank ada orang minta sedekah atau sedang kita makan ada orang buta minta sedekah. Apa yang terlintas di hati kita , aku tak nak sedekah kepada orang macam ni, mungkin mereka didalangi sindiket, baik sedekah kepada institusi yang dipercayai. Lalu kita pun berlalu pergi tanpa satu sen pun disedekahkan. Atau jika sedekah pun dengan not amaun yang paling kecil di dalam dompet kita. Masalahnya niat bersedekah itu hanya terkubur di situ sahaja tanpa kita realisasikan. 

Sedekah kepada kaum kerabat dapat 2 pahala iaitu pahala sedekah dan pahala merapatkan silaturrahim. Sedekah yang paling baik ialah sedekah belanja orang makan sebab biasanya sukar untuk kita ungkit semula dalam bentuk amaun. Sedekah yang paling senang adalah dengan memberi senyuman, kalau tak takkan ada pepatah senyum itu sedekah. Sedekah juga dapat memanjangkan usia dan menolak musibah dan menyembuhkan penyakit. 


Oleh itu, ingatlah bila- bila  masa Allah boleh cabut nyawa kita. Ingatan kepada saya dan pembaca, kita kena sentiasa bersedia meyuburkan benih yang kita tanam di dunia ini supaya dapat kita tuai hasilnya di sana nanti. Insyallah..

Moga ilmu yang dikongsi bermanfaat untuk semua.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan