Isnin, 30 Jun 2014

Juadah Berbuka,Masak Atau Beli

Entri : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan telah masuk hari ke 2. Pastinya sebagai ibu dari pagi dah fikir nak makan apa untuk juadah berbuka hari ini. Nak masak  ke nak beli? Di dalam entri ini saya akan kongsikan baik buruk memasak dan membeli juadah berbuka puasa berdasarkan pengalaman saya.

Di bulan Ramadhan ini saya dibenarkan pulang awal sejam iaitu pada pukul 4.30 petang. Anak sulung di sekolah rendah juga dibenarkan pulang awal sejam iaitu 5.30 petang. Anak-anak di taska juga mesti diambil sebelum pukul 5.30 petang. Ahh saya hanya ada sejam untuk menjemput anak-anak di dua tempat berlainan. Nampaknya tiada pilihanlah untuk menjamu mata(dalam makna yang lain mengosongkan poket) di bazaar ramadhan. Takkan nak heret empat- empat orang dalam bazaar yang penuh sesak dengan orang ramai. Moh ler kita masak....

Di antara kebaikan utama memasak sendiri juadah berbuka puasa adalah penjimatan dari segi kewangan dan masa. Biasanya saya akan keluarkan bahan mentah seperti ikan dan ayam sebelum saya ke pejabat. Hujung minggu saya akan mengupas bawang dan sebahagiannya saya kisar untuk memudahkan saya memasak di hari kerja. Sayur juga akan disiang di subuh hari jika berkesempatan. Kerja-kerja remeh temeh inilah yang kadang-kadang menghilangkan mood memasak kita jika tiada persediaan awal dibuat. Untuk menu tak perlulah memasak menu yang susah-susah, asalkan boleh mengenyangkan perut dan berkhasiat. Kalau ada order makanan yang istimewa, kena tunggulah hujung minggu.

Bila memasak jangan lupa untuk berzikir supaya makanan yang kita suapkan ke perut anak-anak lebih berkat. Itu juga petua untuk melembutkan hati mereka. Saya masih ingat pesan arwah emak, nak tambat hati suami kena jaga makan pakainya. Di samping mendapat pahala, encik suami akan lebih sayang kepada kita. Cuma tak dinafikan memang agak letih menyediakn makanan berbuka tetapi berbaloi bila melihat orang yang kita sayang makan dengan penuh selera.

Bayangkan jika ke bazaar ramadhan, dengan nilai wang sekarang rm50 sudah tentu habis. Maklumlah banyak makanan dan minuman hingga rambang mata untuk memilih. Dengan perut berkeroncong, sudahnya beli je semua sebab ikutkan hawa nafsu. Selain itu kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman yang dijual di bazaar ramadhan meragukan. Betul ke telur yang dibuat murtabak itu dibasuh dahulu?Betul ke air yng dijual tu dimasak dahulu? Betul ke tiada perisa tambahan dalam makanan yang dimasak?

Apa - apa pun tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan kita. Selamat berbuka puasa dan bertemu lagi di lain lembaran...



Salam sayang dari Munirah Abdul Hamid

Sabtu, 28 Jun 2014

Panggilan Allah Dalam Kehidupan

Teks : Munirah Binti Abdul Hamid
Lokasi : Surau BW, Menara Takaful Malaysia

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Di lembaran ini saya kongsikan rumusan dari tazkirah yang saya sempat hadiri semasa waktu makan tengah hari tadi. Disampaikan oleh Ustaz Haji Nik Ahmad Farhan dengan penuh santai diselangi dengan jenaka dan nyanyian membuatkan hadirin tidak kering gusi dan mengantuk.

Tajuk tazkirah pada hari ini ialah"Panggilan Allah Dalam Kehidupan". Dalam hidup ini hanya ada 3 cara Allah menyeru kita menyembahNya iaitu azan, ibadat haji dan kematian. Namum hari ini hanya panggilan yang pertama sahaja dapat diterangkan oleh ustaz.

Azan telah disyariatkan pada tahun ke 2 Hijrah. Sejarahnya bermula apabila Rasulullah dan sahabat berbincang bagaimana caranya untuk mengingatkan kaum muslim bila masuknya waktu solat. Antara cadangan sahabat menyalakan api di atas bukit tetapi ditolak kerana menyamai agama Majusi. Cadangan kedua untuk membunyikan trumpet ditolak kerana menyerupai agama Yahudi. Cadangan ketiga untuk membunyikan loceng juga ditolak kerana menyerupai agama Nasrani atau Kristian.Tiada keputusan diperolehi. Pada malam yang sama , seorang sahabat nabi iaitu Abdullah bin Zaid telah bermimpi mendengar satu suara melafazkan azan seperti sekarang. Lalu dikhabarkan mimpi itu kepada nabi. Nabi menyuruh Bilal bin Rabah melaungkan lafaz azan tersebut dan didengari oleh semua penduduk Madinah. Umar bin Khatab apabila mendengar lafaz tersebut memberitahu nabi yang dia juga mengalami mimpi yang sama. Lantas Rasulullah bersetuju menggunakan lafaz tersebut sebagai tanda waktu solat telah masuk.

Muazzin iaitu orang yang melaungkan azan dijanjikan Allah pahala yang cukup besar.Memandangkan azan bertujuan untuk mengajak orang bersolat, muazzin hendaklah melaungkan azan dengan penuh kelembutan dan kemesraan. Alhamdulillah dengan melaungkan azan dapat menarik minat bukan islam untuk lebih mendekati Islam.

Kalimah azan mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Apabila azan berkumandang, saraf di dalam diri orang yang bertakwa akan menghantar mesej kepada otak untuk menunaikan solat. Selain itu azan juga didengarkan ke telinga bayi yang baru dilahirkan supaya kalimah tersebut menjadi perkataan pertama yang didengari bayi.  Azan juga dilaungkan sebagai tanda kemenangan di dalam peperangan.

Fakta yang paling unik untuk dikongsi adalah laungan azan yang telah dikumandangkan sejak 14 abad lalu tidak pernah berhenti dilaungkan sepanjang 24 jam sehari sehingga hari kiamat. Azan bersambung-sambung dan sentiasa dilaungkan mengikut putaran bumi. Suhanallah, Maha suci Allah.Keadaan fizikal bumi yang bulat menyebabkan terjadinya perbezaan waktu solat di setiap daerah.

Subhanallah begitulah hebatnya ciptaan Allah. Apabila merenung kejadian ini betapa rasa kerdilnya kita di sisi Allah.



Selasa, 24 Jun 2014

Marhaban Ya Ramadhan

Teks : Munirah Abdul Hamid
Lokasi : Surau BW, Menara Takaful Malaysia
Penceramah : Ustazah Fadilah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Bertemu kita lagi hari ini. Cuaca di luar berjerebu di samping tahap kepanasan menambah kehangatan petang. Entri kali ingin saya kongsikan tazkirah yang saya hadiri Jumaat lepas. Tazkirah dianjurkan oleh pihak BIMBING Takaful Malaysia bagi muslimah mengisi masa rehat selama 2 jam.

Di antara pengisian yang dapat saya rumuskan untuk dikongsi bersama. Apakah persiapan kita sebelum memasuki bulan Ramadhan?

  • Bertaubat kepada Allah di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan.Bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan yang mana Allah akan ampunkan semua dosa kecuali dosa syirik.
  • Dosa sesama manusia juga harus dibersihkan dengan cara memohon kemaafan kepada ibu bapa, keluarga, suami isteri dan juga rakan sepejabat.Jika dapat kemaafan sesama manusia, kita akan dapat memfokuskan membersihkan dosa dengan Allah sahaja.
  • Bercadang atau berazam untuk khatam Al Quran. Ianya boleh dimulakan sekarang tanpa menunggu masuknya Ramadhan. Setiap hari baca 2 mukasurat sebelum dan selepas sembahyang 5 waktu, insyaallah berjaya.
  • Perlu tingkatkan bekalan ilmu dalam bab puasa. Contohnya hukum fekah berkaitan Ramadhan. Maksimum hari berpuasa 30 hari dan minimum 29 hari. Jika si A mula berpuasa di Malaysia dan ingin menyambut Hari Raya di Mekah.Puasa di Malaysia baru 28hari sedangkan di Mekah sudah 29 hari di mana esoknya penduduk Mekah sudah merayakan Aidil Fitri. Disebabkan si A baru berpuasa 28 hari dia dikehendaki merayakan Aidil Fitri seperti penduduk Mekah tetapi hendaklah mengqadakkan puasa 1 hari supaya dapat puasa minimum 29 hari seperti dikehendaki hukum fekah.
  • Niat puasa sebulan seperti mazhab Maliki. Tetapi menurut Mazhab Shafie boleh niat sebulan tetapi hendakah disertai niat pada tiap-tiap malam. Niat bukan sahaja pada lafaz tetapi juga perbuatan seperti mengunci jam untuk bangun sahur. 
Semoga kita dapat menambah ilmu di dada dan membuat persiapan seadaanya bagi menjejakkn kaki ke bulan Ramadhan.Di bawah saya kongsikan satu video menarik tentang Ramadhan. Selamat terhibur.....




Isnin, 23 Jun 2014

Pesta Floria Putrajaya 2014

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Hari ni saya nak bercerita pasal Pesta Floria yang diadakan di Putrajaya. Saya hanya sempat melawat pada hari Sabtu 21 Jun 2014  , walaupun pesta telah bermula 14 sehingga 22 Jun 2014. Pesta anjuran Perbadanan Putrajaya ini mendapat kerjasama dari agensi-agensi kerajaan, pihak swata, badan korporat , persatuan, universiti di seluruh Malaysia dan antarabangsa. Bertepatan dengan tema "Mesmerising Colours", kedatangan pelawat disambut dengan gantungan payung berwarna warni dinyalai lampu neon di malam hari. Pelbagai rekaan tema taman diketengahkan seperti tema taman perkahwinan, taman bandar, taman fantasi, taman futuristik dan lain-lain lagi.

Selain pameran bunga, ada juga gerai jualan bazaar taman, gerai yang menjual segala kelengkapan berkebun, anak-anak pokok, perabot taman, landskap  serta seni kraf.

Seama 9 hari pesta ini berlangsung, diselit juga aktiviti gubahan bunga, bengkel berkebun, persembahan artis , pertandingan fotografi serta pertandingan cat air serta seni kraf. Permandangan yang sangat cantik pasti memukau dan mengubah persepsi negatif bunga kepada pelawat yang tidak meminati bunga-bungaan seperti saya. Sejujurnya saya jatuh hati dalam bidang tanam menanam bunga ni. Rasanya seperti nak juga beli anak-anak pokok tetapi terpaksa dibatalkan memandangkan kereta diletakkan sejauh 1 km dari tempat pameran.Sesiapa yang meminati fotografi juga patut mengambil peluang ini untuk merakamkan permandangan indah flora di samping menambah ilmu pengetahuan dalam bidang berkebun.
Gubahan yang mendapat tempat pertama


Memang berbaloi melawat pesta Floria ini. Ianya pasti akan menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua peminat bunga di Malaysia.

Ahaa Raya Datang Lagi

Teks: Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum semua pembaca.

Mesti ada yang senyum sinis, semangatnya saya nak beraya. Anak bulan puasa pun masih belum nampak lagi. Dah fikir pasal raya. Jangan salah faham ye, sebenarnya saya buat persediaan awal untuk menyambut raya iaitu baju raya. Tahun ini saya ingin memakaikan anak-anak dara saya baju fesyen peplum.Tapi bila survey harga sehelai agak mahal, jahit sendirilah nampaknya.

Kebetulan hari ini anak yang sulung mengikuti lawatan ke I City Shah Alam menyebabkan saya akan lewat ke pejabat dan pulang cepat kerana menunggunya naik dan turun bas lawatan. Alang-alang begitu, ambil cuti sajalah dan pergi membeli kain untuk dibuat baju raya. Di Kuala Lumpur mana lagi tempat terbaik membeli kain ela selain di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Cuaca yang agak panas menyebabkan saya keluar awal sikit, sayalah pelanggan pertama kedai kain tersebut.

Kebanyakan kedai sudah mengadakan jualan murah, maklumlah nak raya. Kebanyakan kain ada diskaun 10%. Juling mata juga nak memilih corak yang tercantik. Nasib baik tahun ni tema warna ceria,jadi tak kisahlah warna apa. Untuk baju peplum, saya memilih corak yang sama tetapi warna yang berlainan. Ini adalah satu langkah penjimatan kerana jarak umur anak-anak perempuan saya hanya 2 tahun. Apabila si kakak membesar, bajunya akan diberi kepada anak kedua dan seterusnya. Jika semua sama corak, idea ni tak dapatlah dipraktikkan.
BAJU CORAK KAIN KOTAK-KOTAK
Menjahit sendiri memang menguntungkan. Bayangkan jika saya beli atau tempah fesyen yang sama, kos sehelai boleh menjangkau RM100. Tapi jika jahit sendiri hanya keluarkan modal beli kain sahaja. Selain itu, kita akan dapat kepuasan dan anak-anak tentu lebih menghargainya. Insyaallah kena istiqamah ni, kalau tak,
kena pergi Jalan TAR lagi tapi beli baju dah siaplah.

Ok. Sampai sini saja coretan hari ini. Jumpa lagi di lain lembaran.



Ahad, 22 Jun 2014

Kempen Kenali Ubat Anda


Teks : Munirah Abdul Hamid
Rujukan : Pamplet HKL

Assalamualaikum kepada semua pembaca.

Hari ini saya membawa anak-anak menemani adik bongsu yang bekerja sebagai Pegawai Farmasi di Hospital Kuala Lumpur ke Taman Tasik Titiwangsa untuk bersama-sama menjayakan kempen Kenali Ubat Anda anjuran Jabatan Farmasi,HKL.

Pelbagai acara diadakan seperti pameran ubat-ubatan, peraduan mewarna,peraduan mencari harta karun dan macam-macam lagi. Banyak juga ilmu baru mngenai ubat didapati di sini. Mari saya kongsikan bersama-sama pembaca.

Ubat didefinasikan sebagai bahan kimia untuk mencegah, mengawal dan merawat penyakit. Terbahagi kepada 2 iaitu ubat am yang boleh kedai farmasi atau kedai ubat seperti vitamin. Yang kedua ubat terkawal dengan preskripsi seperti ubat darah tinggi dan ubat terkawal tanpa preskripsi seperti krim dan ubat batuk.

5 konsep utama betul, 5B iaitu:-
  1. Pengguna ubat yang betul
  2. Ubat yang betul
  3. Dos yang betul
  4. Cara pengambilan ubat yang betul
  5. Masa yang betul
2 cara untuk mengenali ketulenan ubat ialah melalui nombor pendaftaran 8 digit diikuti dengan abjad dan semua ubat mempunyi hologram meditag yang disahkan olek Kementerian Kesihatan. Butiran yang perlu ada pada label ubat seperti nama ubat, tarikh ubat dibekalkan, arahan cara pengambilan, nama pembekal ubat, nama pesakit dan no rujukan pesakit. Selain itu deskripsi ubat seperti jenama,nama generik , dos, kegunaan ubat,cara penyimpanan, nombor kelompok, tarikh dibuat, tarikh luput dan nombor pendaftaran yang diluluskan.

Selain itu, Jabatan Farmasi juga mahu memperkenalkan kepada pengguna 2 perkhidmatan terbaru mereka. SMART(Sitem Mendispen Secara Temujanji) iaitu perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit dengan preskripsi melebihi 2 bulan agar dapat mengambil bekalan susulan tanpa menunggu lama. Ubat Melalui Pos pula adalah perkhidmatan pembekalan ubat susulan melalui PosLaju ke seluruh Malaysia.

Pada pendapat saya kempen ini memang sangat bagus untuk memupuk kesedaran pengguna tentang ubat-ubatan. Itu sahaja coretan saya untuk hari ini.Moga bermanfaat untuk semua.





Jumaat, 20 Jun 2014

Bulan Jun Bulan Kesedihan


Arwah emak dan Nurain Zhafirah

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum buat semua pembaca yang disayangi Allah.

Hari ini sudah 20 Jun 2014. Sungguh cepat masa berlalu. Tanpa disedari bulan Jun sudah mula melabuhkan tirai. Kenapa agaknya tajuk entri saya bunyinya agak sedih je? Memang kerana keluarga saya kehilangan dua orang ahli pada bulan Jun.

Pada 7 Jun 2013, arwah emak telah meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya. Arwah diserang penyakit strok pada tahun 2007. Pada mulanya kami ingat arwah hanya menghidap penyakit darah tinggi sahaja. Selepas serangan strok baru kami tahu yang arwah juga menghidap penyakit kencing manis. Sejak itu rutin harian arwah berubah dari seorang yang tak tahu duduk diam kepada duduk terlantar di atas katil.Pelbagai usaha kami lakukan untuk mengubati arwah termasuklah membawanya pergi berurut dan mencuba pelbagai jenis ubat-ubatan.Alhamdulillah ada peningkatan. Arwah sudah boleh menguruskan diri sendiri dan berjalan  menggunakan bantuan tongkat. Di sini saya ingin merkamkan ribuan terima kasih kepada adik yang sanggup mengorbankan masa remaja untuk tidak bekerja, sebaliknya menjaga arwah.

Saya akui kata orang, seorang ibu boleh jaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu boleh jaga seorang ibu. Menjaga orang tua yang sakit banyak sungguh dugaannya. Kadang-kadang sangat mencabar kesabaran sehingga boleh jadi anak derhaka jika tidak sabar. Keadan arwah yang tidak kuat tangan kananya menyebabkan emosi arwah naik turun. Arwah ti dak mampu membuat kerja rumah dan hanya mampu membebel kerana semua tidak kena di matanya. Tapi itu dulu.Kini saya rindu dengan bebelannya. Tiada lagi tempat rujukan resepi kegemaran, tiada lagi tempat mengadu jika ada masalah dan tiada lagi panggilan telefon untuk mengejutkan saya bangun sahur di bulan Ramadhan.

Setelah genap setahun lim ahari pemergian arwah, Allah gantikan dengan kelahiran anak kedua adik saya. Namun Allah pinjamkan bayi comel bernama Nurain Zhafirah hanya 3 hari sahaja. Zhafirah mempuyai banyak masalah seperti denyutan jantung yang lemah, kadar bacaan tiroid yang tinggi dan bahan kimia yang kurang menyebabkan dia tidak aktif. Mata pun tdak dapat dibuka. Ini menyebabkan Zhafirah dimasukkan ke Wad Kritikal Kanak-Kanak(NICU) pada petang hari kelahirannya. Pada hari ketiga, 14 Jun 2014, Zhafirah telah pergi menyahut seruan Illahi, menunggu kedua ibu bapanya di syurga.

Saya redho dengan ketentuan Allah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunya. Pesan saya pada adik beradik jangan lupa kirimkan Al Fatihah buat arwah emak dan Zhafirah. Moga kedua-dua roh ditempatkan bersama orang-orang soleh dan bertakwa. Amin....

Khamis, 19 Jun 2014

SALAM PERKENALAN

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan salam perkenalan buat semua pembaca yang sudi meluangkan masa membaca nukilan pertama saya ini. Alhamdulillah berjaya juga manyelesaikannya walaupun mengambil masa hampir dua minggu.Pelbagai perasaan yang timbul semasa nukilan ini dibuat.Takut kerana sudah lama tidak menulis karangan. Rasanya yang terakhir semasa mengambil peperiksaan SPM, dah lebih sepuluh tahun. Teruja kerana cara pembelajaran yang unik tanpa guru di depan mata, menggunakan teknologi canggih yang pasti memudahkan kerja.

Nama diberi ringkas sahaja iaitu Munirah yang membawa makna yang bercahaya. Syukur kerana sudah 36 tahun diberi keizinan oleh Nya menikmati kehidupan bahagia disulami penuh pancaroba. Dilahirkan dalam keluarga yang besar iaitu anak  kelima dari lapan adik beradik, ditambahi dengan  kematian arwah ayah semasa saya berumur 15 tahun,banyak mengajar diri saya menjadi seorang yang berdikari. Dibesarkan oleh arwah emak tersayang sehingga berjaya menggenggam segulung Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA. 

Kerjaya pertama saya sebagai Pembantu Akaun di sebuah syarikat perabot di Kuala Lumpur. Disebabkan saiz syarikat yang kecil mebuatkan saya terpaksa memikul bahagian Pentadbiran sekali. Walaupun penat, bagus juga sebab sebagai "fresh graduate", saya perlukan banyak pengalaman kerja. Setelah 2 tahun, saya ditawarkan bekerja di salah sebuah perintis syarikat takaful di Malaysia di dalam Bahagian Kewangan sehingga ke hari ini. Pejam celik, pejam celik sudah hampir 11 tahun berkhidmat di sini. Bohong jika saya katakan tidak bosan, tapi apakan daya saya harus membantu suami meningkatkan taraf hidup keluarga. Keadaan syarikat agak stabil dan kerja yang tidak begitu membebankan, cuma masalahnya saya sudah jemu. Saya perlukan pembaharuan dalam hidup, tak nak lagi bermain nombor. 

Saya telah berkahwin selama 10 tahun dan dikurniakan 3 orang puteri dan yang terakhir seorang putera. Sungguh indah melihat mereka membesar, namun jauh di sudut hati terkilan kerana sebahagian besar siang mereka banyak dihabiskan di taska. Saya tahu mereka tak suka sebenarnya, tapi apakan daya keadaan memaksa. Setiap petang semasa mengambil mereka di taska, saya belum sempat turun kereta mereka dah menunggu di muka pintu tidak sabar untuk pulang ke rumah. Tambahan pula anak-anak sudah pandai memberi komen negatif tentang pengasuh, walau pun tidak sampai tahap didera,namun komen tersebut tetap memotivasikan saya untuk bekerja sendiri. Pengaruh rakan sebaya juga membuatkan mereka membesar dengan persekitaran yang tidak sihat.

Selain itu, saya juga sudah tidak mampu mengharungi kesesakan lalu lintas. Bayangkan dari kecil hingga sekarang tinggal di Ampang, jika tiada kesesakan lalu lintas bukan Ampanglah namanya. Alternatif terbaik menaiki kenderaan awam iatu LRT dan Monorel. Paling kurang pun sesak masa nak pergi stesen LRT sahaja. Duit minyak pun dapat dijimatkan di samping sedikit senaman berjalan kaki. 

Sebenarnya dari kecil saya sudah didedahkan dengan perniagaan. Keluarga saya mempunyai sebuah kedai runcit dan gerai menjual laksa, air batu campur dan rojak buah. Kami adik beradik akan bergilir-gilir membantu arwah emak  dan ayah menjaga kedai selepas sessi persekolahan tamat. Namun perniagaan terpaksa ditutup selepas kematian arwah ayah. Arwah emak masih membesarkan kami dengan rezeki perniagaan membuat kuih dan upah menjahit sulaman tangan. Walau bagaimanapun mungkin disebabkan sifat pemalu dan pendiam saya membuatkan saya kurang berminat dalam perniagaan. Saya banyak melakukan pekerjaan belakang tabir sahaja. 

Saya suka menonton rancangan masakan terutama berkaitan pencuci mulut. Saya juga boleh menjahit baju kurung dan langsir untuk kegunaan sendiri. Selain itu, arwah emak ada juga menurunkan ilmu sulaman tangan dan kait-mengait. Namun setelah berkahwinsemua itu ditinggalkan diganti dengan tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan juga seorang pekerja.Walaupun sibuk, saya sulamkan juga dengan menambah ilmu agama untuk memperbaiki kelemahan diri diri dengan mendengar tazkirah dan rancangan motivasi.

Kini, anak bongsu sudah berumur 2 tahun dan saya berharap saya dapat memfokuskan matlamat jangka panjang saya untuk bekerja sendiri dari rumah. Saya mensasarkan 2 tahun untuk saya mengutip ilmu, mencari tapak dan mencungkil bakat terpendam saya untuk menjana pendapatan. Saya masih tercari-cari bagaimana, produk apa, selain untuk membuang fikiran negatif untuk berjaya sehingga saya berjumpa blog kak Masayu Ahmad. Amatlah besar harapan saya dengan menyertai Akademi Belajar Dari Rumah(ABDR)akan dapat saya raih sokongan dan bimbingan rakan-rakan seperjuangan.

Semoga bertemu lagi di  lain lembaran....