Sabtu, 28 Jun 2014

Panggilan Allah Dalam Kehidupan

Teks : Munirah Binti Abdul Hamid
Lokasi : Surau BW, Menara Takaful Malaysia

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Di lembaran ini saya kongsikan rumusan dari tazkirah yang saya sempat hadiri semasa waktu makan tengah hari tadi. Disampaikan oleh Ustaz Haji Nik Ahmad Farhan dengan penuh santai diselangi dengan jenaka dan nyanyian membuatkan hadirin tidak kering gusi dan mengantuk.

Tajuk tazkirah pada hari ini ialah"Panggilan Allah Dalam Kehidupan". Dalam hidup ini hanya ada 3 cara Allah menyeru kita menyembahNya iaitu azan, ibadat haji dan kematian. Namum hari ini hanya panggilan yang pertama sahaja dapat diterangkan oleh ustaz.

Azan telah disyariatkan pada tahun ke 2 Hijrah. Sejarahnya bermula apabila Rasulullah dan sahabat berbincang bagaimana caranya untuk mengingatkan kaum muslim bila masuknya waktu solat. Antara cadangan sahabat menyalakan api di atas bukit tetapi ditolak kerana menyamai agama Majusi. Cadangan kedua untuk membunyikan trumpet ditolak kerana menyerupai agama Yahudi. Cadangan ketiga untuk membunyikan loceng juga ditolak kerana menyerupai agama Nasrani atau Kristian.Tiada keputusan diperolehi. Pada malam yang sama , seorang sahabat nabi iaitu Abdullah bin Zaid telah bermimpi mendengar satu suara melafazkan azan seperti sekarang. Lalu dikhabarkan mimpi itu kepada nabi. Nabi menyuruh Bilal bin Rabah melaungkan lafaz azan tersebut dan didengari oleh semua penduduk Madinah. Umar bin Khatab apabila mendengar lafaz tersebut memberitahu nabi yang dia juga mengalami mimpi yang sama. Lantas Rasulullah bersetuju menggunakan lafaz tersebut sebagai tanda waktu solat telah masuk.

Muazzin iaitu orang yang melaungkan azan dijanjikan Allah pahala yang cukup besar.Memandangkan azan bertujuan untuk mengajak orang bersolat, muazzin hendaklah melaungkan azan dengan penuh kelembutan dan kemesraan. Alhamdulillah dengan melaungkan azan dapat menarik minat bukan islam untuk lebih mendekati Islam.

Kalimah azan mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Apabila azan berkumandang, saraf di dalam diri orang yang bertakwa akan menghantar mesej kepada otak untuk menunaikan solat. Selain itu azan juga didengarkan ke telinga bayi yang baru dilahirkan supaya kalimah tersebut menjadi perkataan pertama yang didengari bayi.  Azan juga dilaungkan sebagai tanda kemenangan di dalam peperangan.

Fakta yang paling unik untuk dikongsi adalah laungan azan yang telah dikumandangkan sejak 14 abad lalu tidak pernah berhenti dilaungkan sepanjang 24 jam sehari sehingga hari kiamat. Azan bersambung-sambung dan sentiasa dilaungkan mengikut putaran bumi. Suhanallah, Maha suci Allah.Keadaan fizikal bumi yang bulat menyebabkan terjadinya perbezaan waktu solat di setiap daerah.

Subhanallah begitulah hebatnya ciptaan Allah. Apabila merenung kejadian ini betapa rasa kerdilnya kita di sisi Allah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan