Jumaat, 20 Jun 2014

Bulan Jun Bulan Kesedihan


Arwah emak dan Nurain Zhafirah

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum buat semua pembaca yang disayangi Allah.

Hari ini sudah 20 Jun 2014. Sungguh cepat masa berlalu. Tanpa disedari bulan Jun sudah mula melabuhkan tirai. Kenapa agaknya tajuk entri saya bunyinya agak sedih je? Memang kerana keluarga saya kehilangan dua orang ahli pada bulan Jun.

Pada 7 Jun 2013, arwah emak telah meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya. Arwah diserang penyakit strok pada tahun 2007. Pada mulanya kami ingat arwah hanya menghidap penyakit darah tinggi sahaja. Selepas serangan strok baru kami tahu yang arwah juga menghidap penyakit kencing manis. Sejak itu rutin harian arwah berubah dari seorang yang tak tahu duduk diam kepada duduk terlantar di atas katil.Pelbagai usaha kami lakukan untuk mengubati arwah termasuklah membawanya pergi berurut dan mencuba pelbagai jenis ubat-ubatan.Alhamdulillah ada peningkatan. Arwah sudah boleh menguruskan diri sendiri dan berjalan  menggunakan bantuan tongkat. Di sini saya ingin merkamkan ribuan terima kasih kepada adik yang sanggup mengorbankan masa remaja untuk tidak bekerja, sebaliknya menjaga arwah.

Saya akui kata orang, seorang ibu boleh jaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu boleh jaga seorang ibu. Menjaga orang tua yang sakit banyak sungguh dugaannya. Kadang-kadang sangat mencabar kesabaran sehingga boleh jadi anak derhaka jika tidak sabar. Keadan arwah yang tidak kuat tangan kananya menyebabkan emosi arwah naik turun. Arwah ti dak mampu membuat kerja rumah dan hanya mampu membebel kerana semua tidak kena di matanya. Tapi itu dulu.Kini saya rindu dengan bebelannya. Tiada lagi tempat rujukan resepi kegemaran, tiada lagi tempat mengadu jika ada masalah dan tiada lagi panggilan telefon untuk mengejutkan saya bangun sahur di bulan Ramadhan.

Setelah genap setahun lim ahari pemergian arwah, Allah gantikan dengan kelahiran anak kedua adik saya. Namun Allah pinjamkan bayi comel bernama Nurain Zhafirah hanya 3 hari sahaja. Zhafirah mempuyai banyak masalah seperti denyutan jantung yang lemah, kadar bacaan tiroid yang tinggi dan bahan kimia yang kurang menyebabkan dia tidak aktif. Mata pun tdak dapat dibuka. Ini menyebabkan Zhafirah dimasukkan ke Wad Kritikal Kanak-Kanak(NICU) pada petang hari kelahirannya. Pada hari ketiga, 14 Jun 2014, Zhafirah telah pergi menyahut seruan Illahi, menunggu kedua ibu bapanya di syurga.

Saya redho dengan ketentuan Allah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunya. Pesan saya pada adik beradik jangan lupa kirimkan Al Fatihah buat arwah emak dan Zhafirah. Moga kedua-dua roh ditempatkan bersama orang-orang soleh dan bertakwa. Amin....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan