Isnin, 30 Jun 2014

Juadah Berbuka,Masak Atau Beli

Entri : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan telah masuk hari ke 2. Pastinya sebagai ibu dari pagi dah fikir nak makan apa untuk juadah berbuka hari ini. Nak masak  ke nak beli? Di dalam entri ini saya akan kongsikan baik buruk memasak dan membeli juadah berbuka puasa berdasarkan pengalaman saya.

Di bulan Ramadhan ini saya dibenarkan pulang awal sejam iaitu pada pukul 4.30 petang. Anak sulung di sekolah rendah juga dibenarkan pulang awal sejam iaitu 5.30 petang. Anak-anak di taska juga mesti diambil sebelum pukul 5.30 petang. Ahh saya hanya ada sejam untuk menjemput anak-anak di dua tempat berlainan. Nampaknya tiada pilihanlah untuk menjamu mata(dalam makna yang lain mengosongkan poket) di bazaar ramadhan. Takkan nak heret empat- empat orang dalam bazaar yang penuh sesak dengan orang ramai. Moh ler kita masak....

Di antara kebaikan utama memasak sendiri juadah berbuka puasa adalah penjimatan dari segi kewangan dan masa. Biasanya saya akan keluarkan bahan mentah seperti ikan dan ayam sebelum saya ke pejabat. Hujung minggu saya akan mengupas bawang dan sebahagiannya saya kisar untuk memudahkan saya memasak di hari kerja. Sayur juga akan disiang di subuh hari jika berkesempatan. Kerja-kerja remeh temeh inilah yang kadang-kadang menghilangkan mood memasak kita jika tiada persediaan awal dibuat. Untuk menu tak perlulah memasak menu yang susah-susah, asalkan boleh mengenyangkan perut dan berkhasiat. Kalau ada order makanan yang istimewa, kena tunggulah hujung minggu.

Bila memasak jangan lupa untuk berzikir supaya makanan yang kita suapkan ke perut anak-anak lebih berkat. Itu juga petua untuk melembutkan hati mereka. Saya masih ingat pesan arwah emak, nak tambat hati suami kena jaga makan pakainya. Di samping mendapat pahala, encik suami akan lebih sayang kepada kita. Cuma tak dinafikan memang agak letih menyediakn makanan berbuka tetapi berbaloi bila melihat orang yang kita sayang makan dengan penuh selera.

Bayangkan jika ke bazaar ramadhan, dengan nilai wang sekarang rm50 sudah tentu habis. Maklumlah banyak makanan dan minuman hingga rambang mata untuk memilih. Dengan perut berkeroncong, sudahnya beli je semua sebab ikutkan hawa nafsu. Selain itu kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman yang dijual di bazaar ramadhan meragukan. Betul ke telur yang dibuat murtabak itu dibasuh dahulu?Betul ke air yng dijual tu dimasak dahulu? Betul ke tiada perisa tambahan dalam makanan yang dimasak?

Apa - apa pun tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan kita. Selamat berbuka puasa dan bertemu lagi di lain lembaran...



Salam sayang dari Munirah Abdul Hamid

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum puan munirah...
    Saya dari group puan masayu ahmad, facebook ummu aimy butikspa...
    Jom tukar link blog list zabedahshafie.blogspot.com
    Salam perkenalan :)

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam.Smlm dah accept friend request. Sy masih baru dlm dunia blog ni.Mohon tunjuk ajar ye.Nanti sy add blog

    BalasPadam