Khamis, 19 Jun 2014

SALAM PERKENALAN

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan salam perkenalan buat semua pembaca yang sudi meluangkan masa membaca nukilan pertama saya ini. Alhamdulillah berjaya juga manyelesaikannya walaupun mengambil masa hampir dua minggu.Pelbagai perasaan yang timbul semasa nukilan ini dibuat.Takut kerana sudah lama tidak menulis karangan. Rasanya yang terakhir semasa mengambil peperiksaan SPM, dah lebih sepuluh tahun. Teruja kerana cara pembelajaran yang unik tanpa guru di depan mata, menggunakan teknologi canggih yang pasti memudahkan kerja.

Nama diberi ringkas sahaja iaitu Munirah yang membawa makna yang bercahaya. Syukur kerana sudah 36 tahun diberi keizinan oleh Nya menikmati kehidupan bahagia disulami penuh pancaroba. Dilahirkan dalam keluarga yang besar iaitu anak  kelima dari lapan adik beradik, ditambahi dengan  kematian arwah ayah semasa saya berumur 15 tahun,banyak mengajar diri saya menjadi seorang yang berdikari. Dibesarkan oleh arwah emak tersayang sehingga berjaya menggenggam segulung Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA. 

Kerjaya pertama saya sebagai Pembantu Akaun di sebuah syarikat perabot di Kuala Lumpur. Disebabkan saiz syarikat yang kecil mebuatkan saya terpaksa memikul bahagian Pentadbiran sekali. Walaupun penat, bagus juga sebab sebagai "fresh graduate", saya perlukan banyak pengalaman kerja. Setelah 2 tahun, saya ditawarkan bekerja di salah sebuah perintis syarikat takaful di Malaysia di dalam Bahagian Kewangan sehingga ke hari ini. Pejam celik, pejam celik sudah hampir 11 tahun berkhidmat di sini. Bohong jika saya katakan tidak bosan, tapi apakan daya saya harus membantu suami meningkatkan taraf hidup keluarga. Keadaan syarikat agak stabil dan kerja yang tidak begitu membebankan, cuma masalahnya saya sudah jemu. Saya perlukan pembaharuan dalam hidup, tak nak lagi bermain nombor. 

Saya telah berkahwin selama 10 tahun dan dikurniakan 3 orang puteri dan yang terakhir seorang putera. Sungguh indah melihat mereka membesar, namun jauh di sudut hati terkilan kerana sebahagian besar siang mereka banyak dihabiskan di taska. Saya tahu mereka tak suka sebenarnya, tapi apakan daya keadaan memaksa. Setiap petang semasa mengambil mereka di taska, saya belum sempat turun kereta mereka dah menunggu di muka pintu tidak sabar untuk pulang ke rumah. Tambahan pula anak-anak sudah pandai memberi komen negatif tentang pengasuh, walau pun tidak sampai tahap didera,namun komen tersebut tetap memotivasikan saya untuk bekerja sendiri. Pengaruh rakan sebaya juga membuatkan mereka membesar dengan persekitaran yang tidak sihat.

Selain itu, saya juga sudah tidak mampu mengharungi kesesakan lalu lintas. Bayangkan dari kecil hingga sekarang tinggal di Ampang, jika tiada kesesakan lalu lintas bukan Ampanglah namanya. Alternatif terbaik menaiki kenderaan awam iatu LRT dan Monorel. Paling kurang pun sesak masa nak pergi stesen LRT sahaja. Duit minyak pun dapat dijimatkan di samping sedikit senaman berjalan kaki. 

Sebenarnya dari kecil saya sudah didedahkan dengan perniagaan. Keluarga saya mempunyai sebuah kedai runcit dan gerai menjual laksa, air batu campur dan rojak buah. Kami adik beradik akan bergilir-gilir membantu arwah emak  dan ayah menjaga kedai selepas sessi persekolahan tamat. Namun perniagaan terpaksa ditutup selepas kematian arwah ayah. Arwah emak masih membesarkan kami dengan rezeki perniagaan membuat kuih dan upah menjahit sulaman tangan. Walau bagaimanapun mungkin disebabkan sifat pemalu dan pendiam saya membuatkan saya kurang berminat dalam perniagaan. Saya banyak melakukan pekerjaan belakang tabir sahaja. 

Saya suka menonton rancangan masakan terutama berkaitan pencuci mulut. Saya juga boleh menjahit baju kurung dan langsir untuk kegunaan sendiri. Selain itu, arwah emak ada juga menurunkan ilmu sulaman tangan dan kait-mengait. Namun setelah berkahwinsemua itu ditinggalkan diganti dengan tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan juga seorang pekerja.Walaupun sibuk, saya sulamkan juga dengan menambah ilmu agama untuk memperbaiki kelemahan diri diri dengan mendengar tazkirah dan rancangan motivasi.

Kini, anak bongsu sudah berumur 2 tahun dan saya berharap saya dapat memfokuskan matlamat jangka panjang saya untuk bekerja sendiri dari rumah. Saya mensasarkan 2 tahun untuk saya mengutip ilmu, mencari tapak dan mencungkil bakat terpendam saya untuk menjana pendapatan. Saya masih tercari-cari bagaimana, produk apa, selain untuk membuang fikiran negatif untuk berjaya sehingga saya berjumpa blog kak Masayu Ahmad. Amatlah besar harapan saya dengan menyertai Akademi Belajar Dari Rumah(ABDR)akan dapat saya raih sokongan dan bimbingan rakan-rakan seperjuangan.

Semoga bertemu lagi di  lain lembaran....




  





Tiada ulasan:

Catat Ulasan