Sabtu, 5 Julai 2014

Kepincangan Ketua Keluarga

Teks : Munirah Abdul Hamid
Sumber : Slot Assalamualaikum TV Alhijrah


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Anak-anak masih lena dibuai mimpi, insyaallah kesempatan yang ada diguna untuk berkongsi satu tajuk yang sangat menarik dan relevan dengan kehidupan seharian kita. Slot di dalam rancangan Assalamualaikum di tv Alhijrah membincangkan tajuk "Kepincangan Ketua Keluarga". Namun maaf dipinta kerana saya tidak sempat mengambil nama kaunselor yang menjadi tetamu undangan.

Di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, ayah, bapa, papa atau yang sewaktu dengannya menjadi ketua melayari satu perjalanan hidup bagi keluarganya. Tapi ada juga yang tidak memainkan peranan mereka dengan tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya seperti tidak solat dan puasa. Ada yang puasa tetapi tidak solat, dan ada juga yang tidak puasa dan solat tetapi menghantar anak-anak ke kelas agama. Keadaan ini memberi cabaran kepada isteri dan anak-anak.Mereka akan rasa tertekan, isteri akan rasa sedih dan menyesal dengan perkahwinan yang tidak seindah mimpi, malu dengan orang sekeliling dan bagi anak-anak rasa keliru kerana diajar di sekolah lain tetapi praktis di rumah lain.

Di dalam situasi ini, para isteri memainkan peranan penting untuk melakukan dakwah terhadap suami. Namun ada yang tidak bernasib baik akan dipukul dan diherdik kerana ego si suami pantang ditegur. Jika ini berlaku si isteri boleh menuntut tuntutan fasakh atas sebab suami tidak memberi contoh yang baik. Alternatif kedua yang selalu menjadi pilihan adalah dengan bersabar dan bertahan demi anak- anak. Jadikan  usaha dakwah Rasulullah yang mengambil masa yang lama sebagai contoh teladan.

Di samping bersabar,di antara pendekatan yang boleh diambil adalah berbincang dengan suami.  Si isteri kena pandai bermain psikologi iaitu memulakan perbincangan berdua dalam suasana romantik didahului dengan memuji segala kelebihan si suami. Suara digunakan selembut - lembutnya dan rendahkan diri serendah-rendahnya. Bila suami sudah selesa barulah perlahan-lahan tajuk utama diunjurkan. Contoh ayat yang boleh digunapakai terima kasih kerana menjadi seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab dalam memenuhi keperluan kami anak beranak tapi pernahkah abang terfikir  sebagai seorang muslim apakah amalan abang sudah cukup?

Selain itu ugutan mesra kepada suami boleh digunapakai. Contohnya saya sudah lama bersabar dan telah putus asa untuk menasihati abang, tolong lepaskan saya. Ugutan mesra tidak membawa maksud sebenar yang kita ingin berpisah dengan suami. Jika si suami betul-betul menyayangi isterinya pasti akan dituruti kehendak isteri supaya suami berubah.

Para isteri hatus merebut peluang 10 malam terakhir di bulan Ramadhan ini untuk melakukan solat tahajud, solat hajat dan bersungguh-sungguh berdoa supaya suami berubah. Si isteri harus menjadi contoh teladan kepada anak-anak dalam urusan solat. Jangan lupa mengajak suami solat berjemaah sekali walaupun sudah tahu apa reaksi atau alasan si suami. Jangan pula merendah-rendahkan suami di depan anak-anak di atas kejahilan suami. Beri imej yang positif tentang suami kepada anak- anak supaya tidak hilang rasa hormat kepada ayah mereka.

Moga nukilan di atas dapat membantu mereka yang mempunyai masalah yang sama.

Sekian, salam sayang dari saya Munirahh Abdul Hamid






Tiada ulasan:

Catat Ulasan