Rabu, 9 Julai 2014

Taska oh Taska

Teks : Munirah Abdul Hamid

Anak-Anak Kesayangan Ummi
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari Jumaat lepas saya telah mengambil cuti kecemasan disebabkan anak teruna saya yang seorang tu tiba-tiba naik suhu badannya. Muazzam jarang diserang demam, mungkin disebabkan penyusuan susu badan tetapi sekali demam lambat sembuh dan proses memerap akan mengambil masa lebih kurang seminggu. Maksud proses memerap di sini adalah dia hendak saya sentiasa di sampingnya. Dia pula masih menyusu badan, pantang nampak saya itu yang diminta. Akhirnya terbengkalailah semua kerja rumah yang biasanya dilakukan di hujung minggu. Ini memaksa saya berjaga malam menyelesaikan semua tugasan. 

Apa kaitannya intro saya dengan tajuk entri ni? Biasanya bila anak demam saya lebih suka menjaganya sendiri walaupun masih boleh dihantar ke taska. Ini adalah kerana jika dihantar ke taska dalam keadaan anak masih belum sembuh sepenuhnya menyebabkan penyakitnya berulang kembali. Contoh seperti di atas. Muazzam mula demam pada hari Jumaat dan saya menjaganya sepanjang hujung minggu dan hari Isnin semasa menghantarnya ke taska sudah boleh dikatakan 80% sihat. Tetapi bila ambil kembali bunyi kahak di dadanya makin kuat. Kecewa betul rasanya sebab ubat hampir sebotol sudah diberi. Ini kerana di taska ada juga kanak-kanak lain yang tidak sihat dicampur sekali, tidak dikuarantin. Apa yang saya hendak jelaskan di sini betapa mudahnya anak dijangkiti penyakit  di taska jika tiada supplemen sampingan seperti vitamin c diberi kepada anak-anak sebagai perisai.

Selain itu masalah kutu rambut. Semua rambut anak-anak akan digunting pendek bagi memudahkan proses menyikat. Lagipun saya tiada masa untuk mendandan rambut mereka. Bagi saya masalah kutu ini tidak dapat dihentikan selagi anak-anak dihantar ke taska tetapi hanya boleh dikawal. Saya memperuntukkan budget setiap bulan untuk pembelian syampoo kutu. Selain itu ada juga mengamalkan petua-petua orang lama bagi mengatasi masalh ini. Kasihan tengok anak-anak tergaru-garu.

Pengaruh rakan sebaya sebenarnya banyak juga membentuk sahsiah anak-anak. Contohnya Muazzam telah dipindahkan ke tingkat bawah bersama-sama kanak-kanak berumur lebih dua tahun. Semasa bayi dia dijaga di bilik bayi di tingkat atas. Perbezaan ketara ialah dari segi kelakuan. Dari seorang yang lemah lembut menjadi seorang yang suka menjerit, menendang orang dan agak panas baran. Begitu juga kakak yang sulung baru berumur 8 tahun tapi sudah mahu bergaya seperti belasan tahun dek kerana berkawan dengan rakan yang lebih tua darinya di taska.

Bukanlah saya hendak menyalahkan taska di atas semua masalah di atas. Ada juga baiknya di mana anak-anak dapat melatih kemahiran sosial dan membentuk sifat berdikari dalam diri.mereka. Cuma inilah realiti yang harus dihadapi oleh ibu bapa yang bekerja yang menghantar anak ke taska. Tidak dinafikan ini juga motivator yang kuat untuk mencapai impian saya menjadi seorang WAHM. Doakan pembaca supaya impian ini menjadi kenyataan suatu hari nanti. Amin...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan