Khamis, 3 Julai 2014

Petunjuk Dari Allah

Teks : Munirah Abdul Hamid
Foto : Facebook

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog. Syukur alhamdulillah di panjatkan ke hadrat Illahi kerana masih diberi kesempatan menikmati nikmat Nya di bulan Ramadhan kareem ini.

Semalam semasa leka membuat kerja di pejabat, geng-geng monorel telah menghantar email tentang berita tanah jerlus di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Imbi. Alamak, ini bermakna perjalanan pulang akan terlewat. Dahlah kena ambil anak-anak dalam masa sejam.Hati dah gundah gulana, kalau tak sempat simpan jelah duit untuk bayaran overtime hujung bulan ni.



Lubang pertama dikesan pada pukul 9.30 pagi dan yang kedua pada pukul 12.30 tengah hari. Lubang sedalam 12 meter dan 9 meter lebar telah berlaku disebabkan kerja-kerja pembinaan terowong oleh pihak DBKL. Disebabkan jaraknya yang dekat dengan tiang monorel menyebabkan perkhidmatan monorel hanya dari stesen KL Sentral ke Hang Tuah dan dari Hang Tuah ke Titiwangsa. Alhamdulillah laluan yang saya naiki tidak terganggu.

Bayangkan disebabkan lubang tersebut, ramai orang yang bekerja di kawasan Bukit Bintang akan mengalami kesukaran ke tempat kerja. Yang menaiki kereta terpaksa menempuh kesesakan lalulintas dan yang menaiki monorel terpaksa bersesak-sesak dalam monorel. Kemungkinan untuk lubang lain terjadi juga merisaukan pihak berkuasa. Pihak TNB juga sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan bekalan elektrik terputus disebabkan ada pencawang elektrik berhampiran tempat kejadian.

Bagi kita orang Islam, mungkin ini petunjuk dari Allah sebagai ingatan yang kita ini terlalu ghairah mengejar pembangunan dan dalam masa yang sama membiarkan maksiat berleluasa. Kita manusia yang mudah lupa tidak mahu mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku sebelum ini. Lihatlah tsunami yang berlaku di Acheh, keinsafan hanya sementara sahaja singgah di hati. Tidak dinafikan godaan hawa nafsu dan bisikan syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Apa yang perlu adalah mujahadah melawan segala perkara negatif dan istiqamah dalam perubahan dari yang tak baik ke baik atau dari yang baik ke yang lebih baik.

Ingatan untuk pembaca blog dan juga diri saya sendiri, rebutlah pintu keampunan di bulan Ramadhan dengan peluang untuk bertaubat atas dosa-dosa yang lalu supaya hari ini lebih baik dari semalam. Moga masa yang berlalu dimanfaati dengan perkara berfaedah dan jauhi kemungkaran.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan