Sabtu, 20 September 2014

Pengalaman Membeli Belah Secara Online

Teks :Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca budiman. Hari ni nukilan berkisar pengalaman saya membeli belah secara online. Tak dinafikan perasaan cuak tu memang ada semasa melakukan transaksi. Di antaranya,betul ke penjual ni wujud? Silap-silap barang tak sampai.Macam mana pula dengan kualiti barang yang akan diterima? Kalau tak elok redho jelah sebab dah bayar.

Barang pertama yang dibeli adalah pemerah susu Avent. Sewaktu anak kedua, saya baru terdedah dengan ilmu penyusuan susu badan. Ingat lagi masa tu baru masuk kerja selepas habis cuti bersalin. Kebetulan pula saya baru berpindah lokasi kerja. Rupanya ramai rakan seangkatan yang menyusukan badan secara ekslusif. Saya pun teringin juga, tetapi nak beli pemerah susu yang baru agak mahal dan saya pun tak pasti boleh ke susu badan ni melimpah ruah. Saya pun ambil keputusan cari yang terpakai sahaja. Melalui laman web susuibu.com,saya bertemu dangan penjual itu. Siap beli sekali tempat menseteril botol susu.

Setelah berjaya mengempam manual, jari ni gatal nak beli pam susu elektrik pula. Bukan apa, bila pakai manual kena memerah di surau, bos pun dah jeling-jeliang. Yang menariknya beli onlne ni kita boleh survey harga dan bandingkan yang mana murah tanpa perlu menghabiskan masa, tenaga, petrol dan bayaran letak kereta. Bnayak kedai online yang membuat jualamn murah.Dan yang penting bila beli barang elektrik, pastikan ia ada jaminan dan perkhidmatan selepas jualan.

Saya ada juga membeli baju secara online. Tetapi walaupun ada ukuran diletakkan supaya kita boleh memilih saiz yang bersesuaian, kadang-kadang tak puas hati juga sebab design baju itu juga merupakan faktor selesa atau tidak baju tersebut. Selain itu, warna juga tidak sama seperti di dalam web, mungkin disebabkan teknik pengeditan gambar yang membuatkan baju itu indah khabar dari rupa. Kualiti kain juga kadang-kadang berbeza dengan apa yang dijanjikan. Disebabkan itu saya tidak suka membeli baju secara online.

Akhir-akhir ini, sejak aktif bermuka buku, saya lebih terdedah  kepada ujian membeli secara online. Pengalaman ditipu ada juga. Saya dijanjikan barangan percuma bila membeli acuan kuih tersebut. Tetapi bila sampai takde pun barang percuma yang dijanjikan. Bila ditanya, boleh pula penjual tu mengatakan yang barang itu dibalut oleh suaminya dan membuat alasan suaminya terlupa. Nasib baik dia minta maaf tetapi agak terkilan juga.Selain itu ada juga pesanan yang dibuat tak sampai-sampai sehingga saya terpaksa mengugut penjual untuk memulangkan wang saya. Akhirnya barang sampai tetapi warna pula berbeza.Malas nak bertekak nanti kalau dipulangkan  entah berapa lama lagi barang gantian nak sampai.

Selain itu, saya juga ada membeli barang di Lazada.com. Memang menarik kerana response dan penghantaran yang cepat. Web tersebut mempunyai sistem yang canggih di mana pembeli akan dimaklumkan pengesahan pesanan, makluman nombor pesanan dan bila barang akan dihantar melalui emel dan juga sms. Selain itu ada 3 cara bayaran iaitu tunai semasa pembayaran, kredit kad dan pemindahan wang. Terdapat juga jaminan barang diganti jika terdapat kerosakan. Dan yang paling menarik perkhidmatan khidmat pelanggannya yang mesra pengguna dan tiada caj penghantaran! Bagi saya ini yang paling menarik sebab biasanya belian secara online pasti ada caj bayaran paling kurang RM6. Siap simpan lagi applicationnya dalam telefon, saja nak jamu mata, kalau iman tak kuat habislah duit dalam akaun.

Memang ada baik buruknya belian secara online ni. Terpulanglah pada kita untuk menilainya. Pengalaman sebagai pembeli online sudah banyak, tetapi sebagai penjual online masih belum ada. Sebab itu saya menyertai kumpulan ABDR supaya dapat diberi tunjuk ajar  untuk menjana pendapatan. Insyallah doakan impian sya ini termakbul juga satu hari nanti.

Salam sayang, 
Munirah Abdul Hamid

Sabtu, 13 September 2014

Agungnya Kasih Ibu

Teks: Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Apa khabar? Moga hari ini dipenuhi dengan memori indah dan jika yang pahit sekalipun jadikan ianya suatu yang positif untuk mengatasi segala kelemahan kita di masa hadapan. Jika lakukan kesalahan, jangan malu untuk meminta maaf jika sesama manusia, dan mohon ampun jika bersalah kepada Allah S.W.T. Hari ni semasa saya membuat pembersihan email (betul ke ayat ini?) saya terjumpa satu email lama yang dikirim rakan. Kisah sedih menyayat hati ini membuatkan saya mengalirkan air mata setiap kali membacanya. Ianya menginsafkan saya tentang kejamnya manusia terhadap haiwan dan agungnya kasih ibu terhadap anaknya, walaupun hanya seekor monyet. Kebelakangan ini, banyak dipaparkan di dada akhbar tentang berita pembuangan bayi di longkang, di tempat sampah dan sebagainya, seumpama nyawa anak yang dikandung selama 9 bulan itu tiada nilainya. Bandingkan manusia seperti ni berbanding monyet yang akan saya ceritakan. Pasti kita akan malu sendiri kerana gagalnya kita menjalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Kepada penulisnya, saya minta izin untuk saya kongsikan di blog ini untuk diambil iktibar dan pemgajaran. Selamat membaca.

Walaupun hanya seekor monyet...

Pembaca budiman, 

Maafkan saya kerana tidak pandai mengarang. Saya bukan penulis. Apa yang ingin saya kongsikan hanyalah cerita tentang monyet, haiwan yang sering menjadi bahan sendaan kita, bukan tentang wang, saham, barang kemas, kekasih yang jelita mahupun banglo besar. Saya tidak bijak bercerita tentang itu.

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui Hutan Bendul di Kuala Pilah, nun di depan mata saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta. 

Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.
Tapi paling menyentak perasaan saya, apabila melihat perutnya yang buncit itu, terserlah di sebalik luka yang besar itu sesuatu yang berwarna kelabu. Tahukah pembaca apa yang saya lihat itu?

Ianya adalah anak di dalam kandungannya!

Pada masa itu tubuh saya begitu gementar. Saya pasti yang monyet itu akan mati tidak lama lagi. Begitu juga anak di dalam kandungannya itu, nayawanya melayang sebelum sempat melihat muka ibunya.Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Kawanan monyet itu berlari-lari mendapatkan ibu monyet itu, tetapi berlari semula ke tepi jalan takut dilanggar oleh kereta yang lalu lalang di situ. 

Mungkin bagi pembaca ia hanya seekor monyet. Haiwan hodoh yang hidup di hutan, tidak setaraf dengan manusia.Tetapi tidak kepada saya. Perkara itu mengingatkan saya satu peristiwa yang saya alami awal tahun 90an dulu. 

Pembaca budiman,

Pada ketika itu usia saya awal 20an. Saya mengikuti pakcik pergi berburu di hutan memandangkan tiada apa yang boleh dibuat untuk mengisi masa lapang. Masih saya ingat, setelah setengah hari memburu, masih tiada tangkapan dibuat. Pelanduk, napuh, rusa semuanya bagaikan bersembunyi dari kami. Hutan itu sepi. 

Saya nampak kekecewaan di muka pakcik. Dengan nada perlahan dia mengajak saya pulang, mungkin hari tersebut tiada rezeki kami. Sedang perjalanan pulang, kami terdengar bunyi suara kawanan monyet sedang menikmati buah-buahan hutan. Pakcik tersenyum lebar sambil berkata "Haa, pakcik nak tembak ibunya dan anaknya boleh kita ambil dan bela" dan terus menghalakan senapangnya ke arah monyet tersebut.

DAMMM
Terdengarkan bunyi senapang, kawanan monyet itu bertempiaran lari menyelamatkan diri masing- masing. Hutan yang sunyi sepi tadi bertukar riuh rendah dengan bunyi ranting patah dan suara monyet -monnyet itu.

BUPPP. Ada satu benda jatuh ke tanah. 

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berhampiran kami. Tanpa membuang masa kami bergegas mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang masih kecil terlepas dari pelukannya terjatuh di bawah pokok tidak jauh dari kami sambil menjerit-jerit. 

Si ibu menrengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan memegang akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekup perutnya yang dipenuhi darah.ia berusaha melangkah tetapi terjatuh semula. Digagahi juga sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan bangun mendapatkan ibunya. Si anak terus saja memeluk ibunya yang kesakitan.Masih jelas di ingatan saya si ibu mambalas erat pelukan anaknya sambil menciumnya berkali-kali seolah-olah ia tahu yang ia tidak akan bertemu lagi dengan anaknya. Ibu tidak akan dapat lagi memelukmu semasa kamu kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, dan juga melindungimu bila kau kepanasan.

Mata si ibu sayu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat anaknya seolah-olah biarlah ia mati bersama anaknya. Matanya digenangi air mata dan tidak lepas memandang kami seolah-olah ingin memberitahu kami betapa kejamnya manusia. Apakah dosa yang aku lakukan sehingga aku ditembak? Salahkan aku bebas berlari ke sana kemari di bumi cipataan Allah ini? 

Tubuh si ibu berlumuran darah. Begitu juga anak di dalam pelukannya. Dengan saki baki tenaga yang ada dia mencium anaknya buat kali terakhir. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ke tanah tidak berdaya menanggung bisa peluru senapang.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan lari dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, akhirnya si anak tadi menyusu semula. 

Di saat itu, perasaan saya sangat sebak. Saya lihat pakcik beberapa kali mengetap bibir menahan air mata dari mengalir keluar.Tapi bila melihat si anak menjerit-jerit memanggil ibunya, air mata kami tumpah jua. Kami betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Suasana sunyi kembali. Si anak kami rangkul biarpun ia terjerit-jerit tidak mahu berpisah dengan ibunya yang sudah mati.

Di dalam kereta kami mendiamkan diri. Pada ketika itu saya rasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Walaupun hanya seekor monyet yang hodoh, mereka punya perasaan, rasa sayang terhadap  anak dan juga rasa sayang terhadap ibunya. 

Tapi kita manusia ...? Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian anak monyet itu mengikut jejak ibunya. Pakcik memberitahu yang ia tidak mahu makan dan hanya terjerit-jerit sahaja. Mungkin rindukan ibunya.Apabila malam, keadaannya bertambah teruk dan terus mati. 

Kini saya sudah bekerja dan berumahtangga. Peristiwa itu  saya ceritakan kepada anak dan isteri supaya mereka mengerti yang haiwan juga punya perasaan.Yang kejam adalah manusaia, walaupun kita adalah satu makhluk yang dikurniakan akal fikiran.Tidak lupa juga saya memberitahu betapa agung dan sucinya kasih ibu.

Pakcik? Dia sudah jarang memburu. Jika berjumpa kawanan monyet pun, dia tidak akan menembaknya.





Ahad, 7 September 2014

Menyemai Benih Pahala Sebelum Ajal Menjemput

Teks: Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Hari ni nukilan tentang menyemai benih pahala sebelum ajal menjemput. Bila sebut tentang benih mestilah kita mahukan benih yang subur yang dapat menghasilkan bunga atau buah yang dapat kita petik bila tiba masanya nanti. Begitu juga diibaratkan dengan hidup kita. Semasa kita hidup di dunia inilah, kita mesti menyemai benih-benih yang subur supaya ianya  bercambah dan hasilya nanti dikutip di akhirat dalam bentuk pahala. Selalu ingat ye, apabila matinya anak Adam , akan terputuslah pahala amal kebaikan kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan juga sedekah jariah. Tetapi tidak semua orang mampu buat semuanya. Jika ditakdirkan ajal menjemput semasa hidupnya bujang atau baru berkahwin  dan belum dikurniai cahaya mata , sudah tentu tiada doa anak yang soleh buatnya. Begitu juga dengan ilmu yang bermanfaat, yang mana tidak semua orang mampu menyampaikan ilmu yang dipelajari. 

Perkara ketiga sudah pasti semua orang mampu membuatnya, cuma bezanya sedit atau banyak, selalu atau jarang-jarang.Ianya adalah  benih yang Allah janji akan lipat kali gandakan pahalanya sebanyak 7 kali ganda. Wah itu pelaburan yang tiada tandingannya dengan semua pelaburan yang ada di dunia ini. Sedekah bukanlah perkara yang mudah kerana kita perlukan mujahadah yang tinggi untuk berpisah dengan harta. Walaupun sedekah adalah perkara sunat, yang mana buat dapat pahala, tak buat tak berdosa. Sedekah adalah pemberian kepada Rabnya. Contohnya para sahabat yang  melihat sedekah  adalah pemberian kepada Allah, bukan kepada sesama manusia. Abu Bakar as Siddiq menyerahkan semua hartanya ke jalan Allah. 

Imbas kembali, kita ni dah sedekah dengan Astro berapa lama? Tambah lagi sedekah dengan tambah channel. Paling sedikit amaun yang dicaj adalah RM39.95.Tapi bayangkan amaun yang sama mahu disedekahkan ke masjid, pasti amat sukar. Ada satu bisikan yang membisikkan kepada kita supaya ragu-ragu dalam membuat sedekah seperti tiada duit kecil yag akhirnya sampai ke sudah tidak buat. Apa salahnya sebagaimana kita istiqamah membayar bil Astro, seharusny a perkara yang sama juga dilakukan dalam bab sedekah.

Sedekah orang miskin adalah sedekah paling afdhal. Rasa susah jangan jadikan alasan untuk tidak bersedekah. Biar amaunnya sedikit asalkan amalannya berterusan. Peluang pahala membuat sedekah Allah sentiasa bagi, seperti bila kita keluar bank ada orang minta sedekah atau sedang kita makan ada orang buta minta sedekah. Apa yang terlintas di hati kita , aku tak nak sedekah kepada orang macam ni, mungkin mereka didalangi sindiket, baik sedekah kepada institusi yang dipercayai. Lalu kita pun berlalu pergi tanpa satu sen pun disedekahkan. Atau jika sedekah pun dengan not amaun yang paling kecil di dalam dompet kita. Masalahnya niat bersedekah itu hanya terkubur di situ sahaja tanpa kita realisasikan. 

Sedekah kepada kaum kerabat dapat 2 pahala iaitu pahala sedekah dan pahala merapatkan silaturrahim. Sedekah yang paling baik ialah sedekah belanja orang makan sebab biasanya sukar untuk kita ungkit semula dalam bentuk amaun. Sedekah yang paling senang adalah dengan memberi senyuman, kalau tak takkan ada pepatah senyum itu sedekah. Sedekah juga dapat memanjangkan usia dan menolak musibah dan menyembuhkan penyakit. 


Oleh itu, ingatlah bila- bila  masa Allah boleh cabut nyawa kita. Ingatan kepada saya dan pembaca, kita kena sentiasa bersedia meyuburkan benih yang kita tanam di dunia ini supaya dapat kita tuai hasilnya di sana nanti. Insyallah..

Moga ilmu yang dikongsi bermanfaat untuk semua.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid.

Sabtu, 6 September 2014

Bajet? Perlu Ke?

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Hari ni nak cerita pasal bajet, maklumlah bajet negara pun akan dibentangkan tak lama lagi. Bagi yang makan gaji seperti saya, hujung bulan adalah masa yang paling ditunggu-tunggu. Duit gaji masih belum masuk ke akaun, tapi dalam kepala dah macam-macam rancangan nak belanjakan duit gaji tersebut. Itupun kira bajet juga kan.Tapi awas ye jika terlebih bajet, padahnya belum sampai hujung bulan poket dah tinggal habuk. Lainlah yang bekerja sendiri, sama ada selalu masuk atau tak masuk-masuk.  Apa pun yang ingin saya kongsikan di sini adalah kepentingan bajet itu sendiri dalam membantu pengurusan kewangan seharian kita. 

Kebiasaannya di organisasi-organisasi besar, bajet telah dibuat awal setahun. Ianya berfungsi sebagai penunujuk arah dan tanda aras yang mahu dicapai dalam tempoh bajet tersebut.  Contohnya dalam jualan, berapa jumlah jualan yang kita sasarkan setahun. Bahagikan kepada 4 bulan di mana kita boleh menyemak setiap empat bulan sekali adakah kita di dalam trek yang betul untuk mencapai jumlah jualan yang telah ditetapkan. Begitu juga digunakan dalam urusan perbelanjaan.

Kita ke skop yang lebih kecil, iaitu bajet untuk diri sendiri atau keluarga. Suami telah menyerahkan tugas berbelanja kepada saya, jadi mudahlah sikit nak nuat bajet bulanan. Di bawah adalah contoh bajet bulanan saya :-

Gaji                                                                                              XXXX
PERBELANJAAN TETAP
Ansuran Rumah                                                       XXX
Ansuran Kereta                                                        XXX
Bil Utiliti                                                                  XXX
Yuran Asuhan Anak                                                XXX
Yuran tadika & tambang Bas                                   XXX
Insuran takaful                                                         XXX
Simpanan Kecemasan                                              XXX
Belanja rumah & anak                                             XXX
Minyak                                                                    XXX            (XXX)


PERBELANJAAN MUDAH ALIH
Hiburan                                                                   XXX 
Melancong                                                              XXX
Gajet tambahan                                                       XXX
Makan luar                                                             XXX            (XXX)   
Lebihan/(Defisit)                                                                         YYY      

Perbelanjaan tetap adalah perbelanjaan bulanan yang wajib dibayar. Jika tiada disiplin dan istiqamah, maka akan huru haralah hidup kerana dikejar si penghutang.  Saya masukkan simpanan dan insuran sebagai perbelanjaan tetap sebagai payung di masa hadapan jika terjadinya perkara yang kita tidak ingini di masa hadapan. Biasanya saya akan pastikan perbelanjaan tetap dibayar dahulu semasa gaji diperolehi. Manakala perbelanjaan mudah alih boleh diubah amaunnya mengikut berapa lebihan gaji setelah ditolak perbelanjaan tetap. Biasanya perbelanjaan mudah alih ini lebih bersifat seperti kehendak berbanding pebelanjaan tetap yang merupakan keperluan asas hidup. 

Bergantung kepada kita, jika nak perbelanjan mudah alih lebih, kenalah cari pendapatan tambahan. Jika tidak pun , berjimatlah mana yang patut. 

Sekian, salam sayang, 
Munirah Abdul Hamid

   

Rabu, 3 September 2014

Home made Ais Krim

Teks : Munirah Abdul Hamid
Aiskrim perisa vanila dan coklat
Assalamualaikum dan selamat bertemu lagi. Semalam dah cerita pasal char koay teow,hari ni masih lagi pasal makanan iaitu ais krim. Saja je cuba buat sebab ramai yang dah cuba dalam kumpulan Resepi Ringkas. Nampak macam mudah je. Resepi ais krim ni memang mudah cuma nak tentukan tahap kegebuan adunan ais krim tu yang susah sebab ia menentukan keras tak nanti ais krim tu. Ini percubaan kali kedua. Masa yang pertama dulu aiskrim tak keras-keras,yang akhirnya saya tambah ais batu dan minum. Kali kedua cuba, saya ikut betul-betul resepi dan tempoh mengadun. Yeah berjaya juga, tetapi agak manis sedikit kerana saya bukan sahaja terlupa kurangkan gula,tetapi siap tambah serbuk koko lagi. Walaupun terlebih manis, anak-anak tetap suka. ,itu yang rasa macam nak buat lagi.

Bahan-bahan:_
1 tin susu cair
4 sb susu pekat manis
4 sb gula
1 sb ovalet
2 penutup esen vanila

Cara-cara:
  1. Campurkan semua bahan dan adunkan selama 20 minit sehingga adunan gebu.
  2. Kemudian boleh tambah pewarna mengikut kesukaan.
  3. Masukkan ke dalam peti ais dan tunggu sehingga ais krim keras.
  4. Barulah boleh dimakan.
Selamat Mencuba, 
Salam sayang, Munirah Abdul Hamid


Selasa, 2 September 2014

Char Koay Teow

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Hari ni saya nak cerita pasal koay teow. Koay teow merupakan makanan kegemaran saya tak kira dimasak sebagai koay teow goreng, char koay teow mahupun koay teow kungfu. Koay teow juga boleh dibuat sebagai ganti untuk nasi jika dah bosan makan nasi hari-hari.

Hari ni suami membawa kami anak beranak makan di Sany Char Koay Teow yang terletak bersebelahan dengan Istana Budaya, Jalan Tun Razak. Sampai sahaja di sana ramai orang sedang menunggu giliran. Pada pandangan pertama saya berdasarkan meja yang penuh malah ada yang sanggup berdiri menantikan meja kosong, sudah pasti sedap ni. Memang tepat telahan saya, memang sedap. Hinggakan anak-anak tidak mahu makan nasi goreng cina yang dipesan untuk mereka tetapi mereka telah menghabiskan char koay teow yang dipesan untuk saya. Cik suami pun pesan lagi sepinggan tetapi kena tunggu hampir setengah jam baru dapat. Takpe menunggu asalkan dapat menikmati juadah yanf sedap ini.

Char koay teow

Di sini saya ingin kongsikan resepi untuk membuat char koay teow. Pes ini boleh dibuat dalam kuantiti yang besar dan disimpan di dalam peti ais. Jika dah ada stok nak masak bila-bila pun boleh.Kan dapat jimat masa.

Bahan-bahan (2 orang):-
Paste
200 gm udang
250ml air
4 ulas bawang putih diketuk
6 sb sos tiram
3 sk kicap pekat
3 sk kicap manis
1 sk petis udang
2 sb patinikan bilis/pati udang
2 sk garam
1 sk gula

Mee
300 gm koay teow
1 sb cili boh
Kerang
Sedikit kucai dan taugeh

Cara-cara:-

  1. UNTUK PASTE-Rebus udang denagn air. Bila udang hampir masak, toskan air rebusan dan disimpan.
  2. Semua bahan untuk pes dicampur dengan air rebusan udang tadi.Reneh hingga pekat dan tutp api. Bila dah sejuk bolehlah disimpan dalam peti ais.
  3. UnTUK MEE -Tumis cili boh hingga garing. Masukkan 4 sb pes tadi.
  4. Tambahlah udang dan kerang.Tambah air dalam 1/2 cawan
  5. Bila dah mendidih, masukkan koay teow, kucai dan taugeh. Kacau rata dan masukkan telur.
  6. Kacau lagi dan bolehlah dihidangkan.
Selamat mencuba, 

Salam.sayang, Munirah Abdul Hamid







Isnin, 1 September 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Tahun ini genap negara Malaysia tercinta menyambut kemerdekaannya yang ke 57. Ini bermakna sudah 57 tahun kita bebas dari dijajah oleh penjajah seperti Belanda, Jepun dan British. Anak muda sekarang termasuk saya harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini di mana kita bebas bergerak di negara sendiri, tanpa ada huru hara dan perbalahan walaupun penduduk Malaysia berbilang bangsa. 

Tahun ini saya berpeluang membawa anak-anak  saya ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan secara langsung. Bukan untuk mereka sahaja, tetapi untuk diri saya kerana  saya tidak pernah menghadirinya walaupun tinggal bersempadan dengan Kuala Lumpur. Hanya sekadar menontonnya dari kaca tv sahaja. Maklumlah orang ramai sudah pasti. Diharap dapat membina semangat patriotisme dalam diri anak-anak. Walau bagaimanpun saya hanya dapat menyaksikan perbarisan sahaja kerana kiri dan kanan jalan sudah dipenuhi penonton. Segala acara di Dataran Merdeka hanya dapat disaksikan di layar besar yang dipasang di tepi jalan. Balik dari menyaksikan perbarisan, Inas Safia dengan megah berkata " Ummi, besar nanti kita nak jadi askarlah, hebat betullah askar tadi". Sambutan tetap meriah walaupun acara tahunan seperti tembakan bunga api dibatalkan atas sebab memperingati nasib malang yang menimpa MH370 dan MH17.

Kemerdekaan ini haruslah dijaga dengan baik supaya ianya tidak hilang. Merdeka bukan sekadar fizikal tetapi dari segi spiritual juga perlukan suntikan semangat cintakan negara. Yang membimbangkan kita adalah fikiran dan budaya hidup yang masih dijajah. Lihat sahaja peristiwa Parti Bogel di Pulau Pinang dan peristiwa pengantin bergambar separuh bogel di Ipoh. Inikah yang dinamakan merdeka?Mereka ini seperti manusia yang tidak bertamadun bila melampau melangkaui batas susila dan adat tempatan. 

Saya berdoa moga kemerdekaan ini dapat dipelihara  di mana kita bukan sahaja bebas dari dijajah, tetapi bebas juga dari penjajahan minda, budaya, sosia ekonomi dan segala aspek kehidupan kita. Selamat hari merdeka....


Salam Sayang, Munirah Abdul hamid



Donut Pintal

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Hari ini saya ingin berkongsi satu resepi donat yang menarik dari segi bentuk dan juga adunannya. Bentuknya seperti dipintal dan adunannya juga berbeza dari resepi donat yang biasa saya buat. Dan hasilnya seperti di atas. Tetapi saya minta maaflah kerana bentuknya sepatutnya seperti dipintal tetapi donat saya dah bentuk bunga pula. Tapi ok juga yang penting teksturnya lembut dan inilah resepi yang saya cari selama ini. Tak rugi tau mencuba, cuma bahagian pintal memintal tu yang perlu latihan lagi. Bak kata omputeh"Practice Make Perfect".

Bahan-bahan:-
5 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air suam
1 sudu kecil garam
3 sb susu pekat manis
2 sb gula
1 biji telur
1 peket mauripan
1 sb ovelet
1 sb serbuk penaik
1 sb shortening
2 sb marjerin

Cara-caranya:-
  1. Satukan tepung gandum yang telah diayak bersama mauripan, ovelet, serbuk penaik, shortening dan marjerin. Gaul rata hingga menjadi seperti serbuk roti. 
  2. Dalam bekas lain campurkan air suam bersama gula, susu dan garam.
  3. Setelah semua larut, masukkan air larutan ke dalam adunan tepung secara sedikit-sedikit sehingga menjadi doh. Rehatkan adunan selama setengah jam sehingga adunan menjadi ringan.
  4. Tumbuk sedikit adunan untuk mengeluarkan angin dan bolehlah mula memintal. Setelah adunan naik bolehlah digoreng hingga kekuningan.
  5. Salut donat dengan gula halus dan bolehlah dihidangkan.
Selamat mencuba....

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid


Tips Penjimatan Elektrik

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca.Dalam kehidupan seharian kita, tenaga elektrik memang menjadi sumber tenaga yang penting. Oleh sebab itu tak boleh nak elaklah dari membayar bil elektrik. Cuma kalau nak pun boleh kurangkan kos penggunaanya. Hari ini saya menerima bil elektrik. Pastinya terkejut, hmm naik lagi. Sebagai orang yang menguruskan pembayaran, pastinya kenaikan perlukan sedikit analisis. Kenapa asyik naik je, turun tiada. Penggunaan elektrik bergantung kepada beberapa faktor seperti berapa ramai penggunanya, gaya hidup, bilangan serta umur perkakasan elektrik yang ada. 

Di antara perkara yang perlu diambil perhatian:-

  1. Lakukan pengauditan tenaga elektrik di rumah. Kenal pasti perkakasan elektrik yang banyak menggunakan tenaga elektrik seperti cerek elektrik dan seterika. Saya tidak menggunakan cerek elektrik sebaliknya hanya menjerang air di atas dapur gas untuk dibuat air masak. Saya juga akan menggosok pakaian kerja dan baju sekolah anak seminggu sekali. Walaupun menggosok dalam kuantiti yang banyak, berbaloi kerana ia dapat menjimatkan banyak elektrik. Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan tengah malam semasa semua anak-anak dan suami sedang tidur. Selain mengelakkan gangguan, dapat juga menonton tv bagi mengelakkan mata mengantuk.
  2. Sebelum keluar rumah, pastikan semua suiz dan plug dimati dan ditanggalkan. Jika berada di rumah pula pastikan semua suiz lampu, kipas dan penghawa dingin ditutup jika tiada penggunanya. Cabarannya nak mendidik anak-anak dalam hal ini. Selalunya selepas mereka bermain, saya akan buat rondaan untuk memastikan tiada lampu atau kipas dibirkan terpasang.
  3. Bertukar lampu kepada jenis downlight kerana dapat penjimatan sehingga 80%. Tidak dinafikan yang lampu ini agak mahal tapi untuk jangka masa panjang ianya amat berbaloi. Paling tidak pun gunakan lampu kalimantang berbanding mentol bulat.
  4. Bertukar perkakasan elektrik yang menggunakan teknologi inverter. Sekarang kebanyakan perkakas elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan penghawa dingin sudah dilengkapi teknologi ini. Di samping menjimatkan elektrik hampir dua kali ganda, teknologi inverter ini juga dapat meyelamatkan alam sekitar.
  5. Bagi pengguna penghawa dingin, tetapkan suhu di antara 23 ke 26 darjah C. Selain itu pastikan saiz penghawa dingin bersesuian dengan keluasan bilik.
  6. Beli mesin basuh muatan hadapan kerana ianya dapat mengurangkan penggunaan air dan juga elektrik.
  7. Untuk pengguna komputer pula elakkan penggunaan screensaver dan  pastikan suiz monitor ditutup jika tidak digunakan. 
  8. Elakkan dari selalu membuka peti ais kerana sekali buka akan mengeluarkan udara sejuk sebanyak 30 %. Elakkan meletak peti ais di  tempat yang terdedah kepada cahaya matahari atau pun berhampiran dapur masakan. 
Itu sahaja tips berjimat saya kali ini. Moga bermanfaat untuk dikongsi bersama.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid

Cara Mengatasi Si Kaki TV

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Tiga hari cuti sempena merdeka yang panjang, ditambahi pula dengan Astro yang memberi semua saluran percuma membuatkan anak-anak melekat di tv sepanjang masa. Bila dipanggil, dengarlah sahutan tapi mata masih melekat di tv. Dan bahaya juga sebab bila menonton terlalu dekat boleh menyebabkan masalah rabun. 

Bagaimana ya nak mengaatasi masalah ni? Mari saya kongsikan beberapa tips yang boleh digunapakai oleh ibu bapa termasuk saya juga.

  1. Tetapkan masa menonton tv -Memandangkan masa saya bersama anak-anak hanya selepas waktu kerja, saya pastikan mereka hanya menonton tv pukul 9 malam hingga 10 malam. Itupun dengan syarat mereka telah mengaji iqra'  dan menyiapkan kerja sekolah. Tetapi hujung minggu saya bagi sedikit kelonggaran tambahan masa untuk menonton. Lebih baik jika dapat sediakan jadual waktu untuk anak-anak supaya mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam pengurusan masa mereka. 
  2. Kenalpasti rancangan kegemaran anak-anak- Kebiasaannya rancangan di Astro kan diulang berkali-kali sehingga mereka boleh hafal dialog.Jika ada fungsi rakaman, rakam rancangan kegemaran mereka supaya boleh ditonton mengikut jadual yang telah dibuat. Boleh juga muatturun rancangan tersebut secara dalam talian.
  3. Tutup tv- Ini yang biasa saya lakukan bila tiba waktu kena tutup tv. Ada yang akan tarik muka masam terutama bila tengah menonton rancangan kegemaran. Yang bestnya siap sorok remote Astro. Bila camtu apa lagi saya gunakan kuasa veto cabut dan sorok kad Astro. Dah tak boleh tengok tv barulah pandai nak ambik buku dan baca.Tapi bila baca buku cepat je ngantuk, hish geram betul..
  4. Luangkan masa bersama anak-anak - Masa cuti hujung minggu atau waktu malamlah masa untuk saya bersama anak-anak. Kadang-kadang bawa mereka ke pasar raya membeli barang keperluan rumah. Tetapi jangan selalu sebab nanti terlebih bajet. Faham-faham sendirilah kan. Biasanya hari Ahad boleh juga bawa mereka ke taman permainan seperti Tasik Titiwangsa. Mereka akan gembira dan ada juga aktiviti mengeluarkan peluh sebab terpaksa kejar mereka yang kejap-kejap nak main gelungsur, buaian dan kuda.
  5. Keluar dari rumah - zaman kanak-kanak kita dulu berbeza dengan kanak-kanak sekarang. Dulu lepas Asar je mesti dah janji dengan kawan nak main baling selipar, main getah , teng teng dan konda kondi. Bagi saya tidaklah pula galakkan mereka keluar bermain macam tu tanpa pengawasan orang dewasa disebabkan keadaan persekitaran yang saya rasakan kurang selamat bagi anak-anak seperti kes penculikan. Mungkin ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak ke kelas lukisan, taek kwan do dan sebagainya. Jika tidak berkemampuan,  bagi main bola atau basikal pun sudah cukup menggembirakan mereka.
  6. Tanamkan minat membaca- Minat membaca perlu ditanam dari kecil. Membaca kan jambatan ilmu. Kenalpasti minat dan kecenderungan anak-anak dengan membeli buku-buku berkaitan.Lebih baik lagi jika ada gambar-gambar menarik. Tapi ingat ye ibu bapa kena tunjukkan teladan yang baik. Kalau suruh anak baca buku tapi ibu bapa sibuk duk tengok tv, tak boleh jadi juga.
Saya tak nafikan banyak cabaran menjadi ibu bapa generasi y ni. Ibu bapa kena tambahkan ilmu pengetahuan tentang teknologi terkini supaya kita tidak diperbodoh-bodohkan anak-anak kelak.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid