Isnin, 1 September 2014

Tips Penjimatan Elektrik

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca.Dalam kehidupan seharian kita, tenaga elektrik memang menjadi sumber tenaga yang penting. Oleh sebab itu tak boleh nak elaklah dari membayar bil elektrik. Cuma kalau nak pun boleh kurangkan kos penggunaanya. Hari ini saya menerima bil elektrik. Pastinya terkejut, hmm naik lagi. Sebagai orang yang menguruskan pembayaran, pastinya kenaikan perlukan sedikit analisis. Kenapa asyik naik je, turun tiada. Penggunaan elektrik bergantung kepada beberapa faktor seperti berapa ramai penggunanya, gaya hidup, bilangan serta umur perkakasan elektrik yang ada. 

Di antara perkara yang perlu diambil perhatian:-

  1. Lakukan pengauditan tenaga elektrik di rumah. Kenal pasti perkakasan elektrik yang banyak menggunakan tenaga elektrik seperti cerek elektrik dan seterika. Saya tidak menggunakan cerek elektrik sebaliknya hanya menjerang air di atas dapur gas untuk dibuat air masak. Saya juga akan menggosok pakaian kerja dan baju sekolah anak seminggu sekali. Walaupun menggosok dalam kuantiti yang banyak, berbaloi kerana ia dapat menjimatkan banyak elektrik. Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan tengah malam semasa semua anak-anak dan suami sedang tidur. Selain mengelakkan gangguan, dapat juga menonton tv bagi mengelakkan mata mengantuk.
  2. Sebelum keluar rumah, pastikan semua suiz dan plug dimati dan ditanggalkan. Jika berada di rumah pula pastikan semua suiz lampu, kipas dan penghawa dingin ditutup jika tiada penggunanya. Cabarannya nak mendidik anak-anak dalam hal ini. Selalunya selepas mereka bermain, saya akan buat rondaan untuk memastikan tiada lampu atau kipas dibirkan terpasang.
  3. Bertukar lampu kepada jenis downlight kerana dapat penjimatan sehingga 80%. Tidak dinafikan yang lampu ini agak mahal tapi untuk jangka masa panjang ianya amat berbaloi. Paling tidak pun gunakan lampu kalimantang berbanding mentol bulat.
  4. Bertukar perkakasan elektrik yang menggunakan teknologi inverter. Sekarang kebanyakan perkakas elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan penghawa dingin sudah dilengkapi teknologi ini. Di samping menjimatkan elektrik hampir dua kali ganda, teknologi inverter ini juga dapat meyelamatkan alam sekitar.
  5. Bagi pengguna penghawa dingin, tetapkan suhu di antara 23 ke 26 darjah C. Selain itu pastikan saiz penghawa dingin bersesuian dengan keluasan bilik.
  6. Beli mesin basuh muatan hadapan kerana ianya dapat mengurangkan penggunaan air dan juga elektrik.
  7. Untuk pengguna komputer pula elakkan penggunaan screensaver dan  pastikan suiz monitor ditutup jika tidak digunakan. 
  8. Elakkan dari selalu membuka peti ais kerana sekali buka akan mengeluarkan udara sejuk sebanyak 30 %. Elakkan meletak peti ais di  tempat yang terdedah kepada cahaya matahari atau pun berhampiran dapur masakan. 
Itu sahaja tips berjimat saya kali ini. Moga bermanfaat untuk dikongsi bersama.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan