Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Tiga hari cuti sempena merdeka yang panjang, ditambahi pula dengan Astro yang memberi semua saluran percuma membuatkan anak-anak melekat di tv sepanjang masa. Bila dipanggil, dengarlah sahutan tapi mata masih melekat di tv. Dan bahaya juga sebab bila menonton terlalu dekat boleh menyebabkan masalah rabun.
Bagaimana ya nak mengaatasi masalah ni? Mari saya kongsikan beberapa tips yang boleh digunapakai oleh ibu bapa termasuk saya juga.
- Tetapkan masa menonton tv -Memandangkan masa saya bersama anak-anak hanya selepas waktu kerja, saya pastikan mereka hanya menonton tv pukul 9 malam hingga 10 malam. Itupun dengan syarat mereka telah mengaji iqra' dan menyiapkan kerja sekolah. Tetapi hujung minggu saya bagi sedikit kelonggaran tambahan masa untuk menonton. Lebih baik jika dapat sediakan jadual waktu untuk anak-anak supaya mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam pengurusan masa mereka.
- Kenalpasti rancangan kegemaran anak-anak- Kebiasaannya rancangan di Astro kan diulang berkali-kali sehingga mereka boleh hafal dialog.Jika ada fungsi rakaman, rakam rancangan kegemaran mereka supaya boleh ditonton mengikut jadual yang telah dibuat. Boleh juga muatturun rancangan tersebut secara dalam talian.
- Tutup tv- Ini yang biasa saya lakukan bila tiba waktu kena tutup tv. Ada yang akan tarik muka masam terutama bila tengah menonton rancangan kegemaran. Yang bestnya siap sorok remote Astro. Bila camtu apa lagi saya gunakan kuasa veto cabut dan sorok kad Astro. Dah tak boleh tengok tv barulah pandai nak ambik buku dan baca.Tapi bila baca buku cepat je ngantuk, hish geram betul..
- Luangkan masa bersama anak-anak - Masa cuti hujung minggu atau waktu malamlah masa untuk saya bersama anak-anak. Kadang-kadang bawa mereka ke pasar raya membeli barang keperluan rumah. Tetapi jangan selalu sebab nanti terlebih bajet. Faham-faham sendirilah kan. Biasanya hari Ahad boleh juga bawa mereka ke taman permainan seperti Tasik Titiwangsa. Mereka akan gembira dan ada juga aktiviti mengeluarkan peluh sebab terpaksa kejar mereka yang kejap-kejap nak main gelungsur, buaian dan kuda.
- Keluar dari rumah - zaman kanak-kanak kita dulu berbeza dengan kanak-kanak sekarang. Dulu lepas Asar je mesti dah janji dengan kawan nak main baling selipar, main getah , teng teng dan konda kondi. Bagi saya tidaklah pula galakkan mereka keluar bermain macam tu tanpa pengawasan orang dewasa disebabkan keadaan persekitaran yang saya rasakan kurang selamat bagi anak-anak seperti kes penculikan. Mungkin ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak ke kelas lukisan, taek kwan do dan sebagainya. Jika tidak berkemampuan, bagi main bola atau basikal pun sudah cukup menggembirakan mereka.
- Tanamkan minat membaca- Minat membaca perlu ditanam dari kecil. Membaca kan jambatan ilmu. Kenalpasti minat dan kecenderungan anak-anak dengan membeli buku-buku berkaitan.Lebih baik lagi jika ada gambar-gambar menarik. Tapi ingat ye ibu bapa kena tunjukkan teladan yang baik. Kalau suruh anak baca buku tapi ibu bapa sibuk duk tengok tv, tak boleh jadi juga.
Saya tak nafikan banyak cabaran menjadi ibu bapa generasi y ni. Ibu bapa kena tambahkan ilmu pengetahuan tentang teknologi terkini supaya kita tidak diperbodoh-bodohkan anak-anak kelak.
Salam sayang, Munirah Abdul Hamid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan