Sabtu, 1 November 2014

Apa itu dropship

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Biasa tak dengar perkataan dropship? Pada mulanya saya sendiri pun tidak memahami apa itu dropship. Sejak terlibat dengan ABDR barulah saya tahu apa itu dropship. Dropship adalah salah satu cara bagi peniaga yang masih baru berjinak-jinak dengan bidang perniagaan tanpa mengeluarkan modal pun. Cara mudah guna air liur je sebagai modal, tapi tu cara lama. Cara yang moden kita boleh pasarkan produk menggunakan facebook, blog, instagram dan pelbagai lagi media sosial.

Si peniaga yang menyediakan produk dipanggil dropshipper. Manakala peniaga yang memasarkan produk dipanggil agen. Bayaran pendaftaran dicaj bergantung kepada dropshipper. Ada juga yang percuma. Kebaikan dropship kepada agen ialah agen tidak perlu mengeluarkan modal untuk membeli dan menyimpan stok. Mereka hanya perlu membuat aktiviti pemasaran dengan pelbagai cara seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Apabila mendapat pesanan dari pelanggan, agen hanya perlu memberi maklumat pesanan dan butir-butir pelanggan. Pelanggan akan membayar kepada agen amaun termasuk jumlah keuntungan agen. Selepas agen membayar bayaran kepada dropshipper, segala urusan pengeposan akan diuruskan oleh dropshipper.

Sebagai agen, kita perlu mengambil tahu kebaikan dan keburukan produk yang akan kita pasarkan. Ini untuk memudahkan kita jika ada pertanyaan dari bakal pelanggan tentang produk tersebut seterusnya mengelakkan kita dari memberi maklumat yang tidak betul. Ia juga penting dalam membina kepercayaan pelanggan terhadap produk dan peniaga. Jika mereka senang berurusan dengan kita ianya juga adalah taktik promosi percuma apabila mereka memperkenalkan pelanggan baru kepada kita.

Sabtu, 20 September 2014

Pengalaman Membeli Belah Secara Online

Teks :Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca budiman. Hari ni nukilan berkisar pengalaman saya membeli belah secara online. Tak dinafikan perasaan cuak tu memang ada semasa melakukan transaksi. Di antaranya,betul ke penjual ni wujud? Silap-silap barang tak sampai.Macam mana pula dengan kualiti barang yang akan diterima? Kalau tak elok redho jelah sebab dah bayar.

Barang pertama yang dibeli adalah pemerah susu Avent. Sewaktu anak kedua, saya baru terdedah dengan ilmu penyusuan susu badan. Ingat lagi masa tu baru masuk kerja selepas habis cuti bersalin. Kebetulan pula saya baru berpindah lokasi kerja. Rupanya ramai rakan seangkatan yang menyusukan badan secara ekslusif. Saya pun teringin juga, tetapi nak beli pemerah susu yang baru agak mahal dan saya pun tak pasti boleh ke susu badan ni melimpah ruah. Saya pun ambil keputusan cari yang terpakai sahaja. Melalui laman web susuibu.com,saya bertemu dangan penjual itu. Siap beli sekali tempat menseteril botol susu.

Setelah berjaya mengempam manual, jari ni gatal nak beli pam susu elektrik pula. Bukan apa, bila pakai manual kena memerah di surau, bos pun dah jeling-jeliang. Yang menariknya beli onlne ni kita boleh survey harga dan bandingkan yang mana murah tanpa perlu menghabiskan masa, tenaga, petrol dan bayaran letak kereta. Bnayak kedai online yang membuat jualamn murah.Dan yang penting bila beli barang elektrik, pastikan ia ada jaminan dan perkhidmatan selepas jualan.

Saya ada juga membeli baju secara online. Tetapi walaupun ada ukuran diletakkan supaya kita boleh memilih saiz yang bersesuaian, kadang-kadang tak puas hati juga sebab design baju itu juga merupakan faktor selesa atau tidak baju tersebut. Selain itu, warna juga tidak sama seperti di dalam web, mungkin disebabkan teknik pengeditan gambar yang membuatkan baju itu indah khabar dari rupa. Kualiti kain juga kadang-kadang berbeza dengan apa yang dijanjikan. Disebabkan itu saya tidak suka membeli baju secara online.

Akhir-akhir ini, sejak aktif bermuka buku, saya lebih terdedah  kepada ujian membeli secara online. Pengalaman ditipu ada juga. Saya dijanjikan barangan percuma bila membeli acuan kuih tersebut. Tetapi bila sampai takde pun barang percuma yang dijanjikan. Bila ditanya, boleh pula penjual tu mengatakan yang barang itu dibalut oleh suaminya dan membuat alasan suaminya terlupa. Nasib baik dia minta maaf tetapi agak terkilan juga.Selain itu ada juga pesanan yang dibuat tak sampai-sampai sehingga saya terpaksa mengugut penjual untuk memulangkan wang saya. Akhirnya barang sampai tetapi warna pula berbeza.Malas nak bertekak nanti kalau dipulangkan  entah berapa lama lagi barang gantian nak sampai.

Selain itu, saya juga ada membeli barang di Lazada.com. Memang menarik kerana response dan penghantaran yang cepat. Web tersebut mempunyai sistem yang canggih di mana pembeli akan dimaklumkan pengesahan pesanan, makluman nombor pesanan dan bila barang akan dihantar melalui emel dan juga sms. Selain itu ada 3 cara bayaran iaitu tunai semasa pembayaran, kredit kad dan pemindahan wang. Terdapat juga jaminan barang diganti jika terdapat kerosakan. Dan yang paling menarik perkhidmatan khidmat pelanggannya yang mesra pengguna dan tiada caj penghantaran! Bagi saya ini yang paling menarik sebab biasanya belian secara online pasti ada caj bayaran paling kurang RM6. Siap simpan lagi applicationnya dalam telefon, saja nak jamu mata, kalau iman tak kuat habislah duit dalam akaun.

Memang ada baik buruknya belian secara online ni. Terpulanglah pada kita untuk menilainya. Pengalaman sebagai pembeli online sudah banyak, tetapi sebagai penjual online masih belum ada. Sebab itu saya menyertai kumpulan ABDR supaya dapat diberi tunjuk ajar  untuk menjana pendapatan. Insyallah doakan impian sya ini termakbul juga satu hari nanti.

Salam sayang, 
Munirah Abdul Hamid

Sabtu, 13 September 2014

Agungnya Kasih Ibu

Teks: Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Apa khabar? Moga hari ini dipenuhi dengan memori indah dan jika yang pahit sekalipun jadikan ianya suatu yang positif untuk mengatasi segala kelemahan kita di masa hadapan. Jika lakukan kesalahan, jangan malu untuk meminta maaf jika sesama manusia, dan mohon ampun jika bersalah kepada Allah S.W.T. Hari ni semasa saya membuat pembersihan email (betul ke ayat ini?) saya terjumpa satu email lama yang dikirim rakan. Kisah sedih menyayat hati ini membuatkan saya mengalirkan air mata setiap kali membacanya. Ianya menginsafkan saya tentang kejamnya manusia terhadap haiwan dan agungnya kasih ibu terhadap anaknya, walaupun hanya seekor monyet. Kebelakangan ini, banyak dipaparkan di dada akhbar tentang berita pembuangan bayi di longkang, di tempat sampah dan sebagainya, seumpama nyawa anak yang dikandung selama 9 bulan itu tiada nilainya. Bandingkan manusia seperti ni berbanding monyet yang akan saya ceritakan. Pasti kita akan malu sendiri kerana gagalnya kita menjalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Kepada penulisnya, saya minta izin untuk saya kongsikan di blog ini untuk diambil iktibar dan pemgajaran. Selamat membaca.

Walaupun hanya seekor monyet...

Pembaca budiman, 

Maafkan saya kerana tidak pandai mengarang. Saya bukan penulis. Apa yang ingin saya kongsikan hanyalah cerita tentang monyet, haiwan yang sering menjadi bahan sendaan kita, bukan tentang wang, saham, barang kemas, kekasih yang jelita mahupun banglo besar. Saya tidak bijak bercerita tentang itu.

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui Hutan Bendul di Kuala Pilah, nun di depan mata saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta. 

Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.
Tapi paling menyentak perasaan saya, apabila melihat perutnya yang buncit itu, terserlah di sebalik luka yang besar itu sesuatu yang berwarna kelabu. Tahukah pembaca apa yang saya lihat itu?

Ianya adalah anak di dalam kandungannya!

Pada masa itu tubuh saya begitu gementar. Saya pasti yang monyet itu akan mati tidak lama lagi. Begitu juga anak di dalam kandungannya itu, nayawanya melayang sebelum sempat melihat muka ibunya.Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Kawanan monyet itu berlari-lari mendapatkan ibu monyet itu, tetapi berlari semula ke tepi jalan takut dilanggar oleh kereta yang lalu lalang di situ. 

Mungkin bagi pembaca ia hanya seekor monyet. Haiwan hodoh yang hidup di hutan, tidak setaraf dengan manusia.Tetapi tidak kepada saya. Perkara itu mengingatkan saya satu peristiwa yang saya alami awal tahun 90an dulu. 

Pembaca budiman,

Pada ketika itu usia saya awal 20an. Saya mengikuti pakcik pergi berburu di hutan memandangkan tiada apa yang boleh dibuat untuk mengisi masa lapang. Masih saya ingat, setelah setengah hari memburu, masih tiada tangkapan dibuat. Pelanduk, napuh, rusa semuanya bagaikan bersembunyi dari kami. Hutan itu sepi. 

Saya nampak kekecewaan di muka pakcik. Dengan nada perlahan dia mengajak saya pulang, mungkin hari tersebut tiada rezeki kami. Sedang perjalanan pulang, kami terdengar bunyi suara kawanan monyet sedang menikmati buah-buahan hutan. Pakcik tersenyum lebar sambil berkata "Haa, pakcik nak tembak ibunya dan anaknya boleh kita ambil dan bela" dan terus menghalakan senapangnya ke arah monyet tersebut.

DAMMM
Terdengarkan bunyi senapang, kawanan monyet itu bertempiaran lari menyelamatkan diri masing- masing. Hutan yang sunyi sepi tadi bertukar riuh rendah dengan bunyi ranting patah dan suara monyet -monnyet itu.

BUPPP. Ada satu benda jatuh ke tanah. 

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berhampiran kami. Tanpa membuang masa kami bergegas mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang masih kecil terlepas dari pelukannya terjatuh di bawah pokok tidak jauh dari kami sambil menjerit-jerit. 

Si ibu menrengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan memegang akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekup perutnya yang dipenuhi darah.ia berusaha melangkah tetapi terjatuh semula. Digagahi juga sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan bangun mendapatkan ibunya. Si anak terus saja memeluk ibunya yang kesakitan.Masih jelas di ingatan saya si ibu mambalas erat pelukan anaknya sambil menciumnya berkali-kali seolah-olah ia tahu yang ia tidak akan bertemu lagi dengan anaknya. Ibu tidak akan dapat lagi memelukmu semasa kamu kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, dan juga melindungimu bila kau kepanasan.

Mata si ibu sayu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat anaknya seolah-olah biarlah ia mati bersama anaknya. Matanya digenangi air mata dan tidak lepas memandang kami seolah-olah ingin memberitahu kami betapa kejamnya manusia. Apakah dosa yang aku lakukan sehingga aku ditembak? Salahkan aku bebas berlari ke sana kemari di bumi cipataan Allah ini? 

Tubuh si ibu berlumuran darah. Begitu juga anak di dalam pelukannya. Dengan saki baki tenaga yang ada dia mencium anaknya buat kali terakhir. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ke tanah tidak berdaya menanggung bisa peluru senapang.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan lari dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, akhirnya si anak tadi menyusu semula. 

Di saat itu, perasaan saya sangat sebak. Saya lihat pakcik beberapa kali mengetap bibir menahan air mata dari mengalir keluar.Tapi bila melihat si anak menjerit-jerit memanggil ibunya, air mata kami tumpah jua. Kami betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Suasana sunyi kembali. Si anak kami rangkul biarpun ia terjerit-jerit tidak mahu berpisah dengan ibunya yang sudah mati.

Di dalam kereta kami mendiamkan diri. Pada ketika itu saya rasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Walaupun hanya seekor monyet yang hodoh, mereka punya perasaan, rasa sayang terhadap  anak dan juga rasa sayang terhadap ibunya. 

Tapi kita manusia ...? Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian anak monyet itu mengikut jejak ibunya. Pakcik memberitahu yang ia tidak mahu makan dan hanya terjerit-jerit sahaja. Mungkin rindukan ibunya.Apabila malam, keadaannya bertambah teruk dan terus mati. 

Kini saya sudah bekerja dan berumahtangga. Peristiwa itu  saya ceritakan kepada anak dan isteri supaya mereka mengerti yang haiwan juga punya perasaan.Yang kejam adalah manusaia, walaupun kita adalah satu makhluk yang dikurniakan akal fikiran.Tidak lupa juga saya memberitahu betapa agung dan sucinya kasih ibu.

Pakcik? Dia sudah jarang memburu. Jika berjumpa kawanan monyet pun, dia tidak akan menembaknya.





Ahad, 7 September 2014

Menyemai Benih Pahala Sebelum Ajal Menjemput

Teks: Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Hari ni nukilan tentang menyemai benih pahala sebelum ajal menjemput. Bila sebut tentang benih mestilah kita mahukan benih yang subur yang dapat menghasilkan bunga atau buah yang dapat kita petik bila tiba masanya nanti. Begitu juga diibaratkan dengan hidup kita. Semasa kita hidup di dunia inilah, kita mesti menyemai benih-benih yang subur supaya ianya  bercambah dan hasilya nanti dikutip di akhirat dalam bentuk pahala. Selalu ingat ye, apabila matinya anak Adam , akan terputuslah pahala amal kebaikan kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan juga sedekah jariah. Tetapi tidak semua orang mampu buat semuanya. Jika ditakdirkan ajal menjemput semasa hidupnya bujang atau baru berkahwin  dan belum dikurniai cahaya mata , sudah tentu tiada doa anak yang soleh buatnya. Begitu juga dengan ilmu yang bermanfaat, yang mana tidak semua orang mampu menyampaikan ilmu yang dipelajari. 

Perkara ketiga sudah pasti semua orang mampu membuatnya, cuma bezanya sedit atau banyak, selalu atau jarang-jarang.Ianya adalah  benih yang Allah janji akan lipat kali gandakan pahalanya sebanyak 7 kali ganda. Wah itu pelaburan yang tiada tandingannya dengan semua pelaburan yang ada di dunia ini. Sedekah bukanlah perkara yang mudah kerana kita perlukan mujahadah yang tinggi untuk berpisah dengan harta. Walaupun sedekah adalah perkara sunat, yang mana buat dapat pahala, tak buat tak berdosa. Sedekah adalah pemberian kepada Rabnya. Contohnya para sahabat yang  melihat sedekah  adalah pemberian kepada Allah, bukan kepada sesama manusia. Abu Bakar as Siddiq menyerahkan semua hartanya ke jalan Allah. 

Imbas kembali, kita ni dah sedekah dengan Astro berapa lama? Tambah lagi sedekah dengan tambah channel. Paling sedikit amaun yang dicaj adalah RM39.95.Tapi bayangkan amaun yang sama mahu disedekahkan ke masjid, pasti amat sukar. Ada satu bisikan yang membisikkan kepada kita supaya ragu-ragu dalam membuat sedekah seperti tiada duit kecil yag akhirnya sampai ke sudah tidak buat. Apa salahnya sebagaimana kita istiqamah membayar bil Astro, seharusny a perkara yang sama juga dilakukan dalam bab sedekah.

Sedekah orang miskin adalah sedekah paling afdhal. Rasa susah jangan jadikan alasan untuk tidak bersedekah. Biar amaunnya sedikit asalkan amalannya berterusan. Peluang pahala membuat sedekah Allah sentiasa bagi, seperti bila kita keluar bank ada orang minta sedekah atau sedang kita makan ada orang buta minta sedekah. Apa yang terlintas di hati kita , aku tak nak sedekah kepada orang macam ni, mungkin mereka didalangi sindiket, baik sedekah kepada institusi yang dipercayai. Lalu kita pun berlalu pergi tanpa satu sen pun disedekahkan. Atau jika sedekah pun dengan not amaun yang paling kecil di dalam dompet kita. Masalahnya niat bersedekah itu hanya terkubur di situ sahaja tanpa kita realisasikan. 

Sedekah kepada kaum kerabat dapat 2 pahala iaitu pahala sedekah dan pahala merapatkan silaturrahim. Sedekah yang paling baik ialah sedekah belanja orang makan sebab biasanya sukar untuk kita ungkit semula dalam bentuk amaun. Sedekah yang paling senang adalah dengan memberi senyuman, kalau tak takkan ada pepatah senyum itu sedekah. Sedekah juga dapat memanjangkan usia dan menolak musibah dan menyembuhkan penyakit. 


Oleh itu, ingatlah bila- bila  masa Allah boleh cabut nyawa kita. Ingatan kepada saya dan pembaca, kita kena sentiasa bersedia meyuburkan benih yang kita tanam di dunia ini supaya dapat kita tuai hasilnya di sana nanti. Insyallah..

Moga ilmu yang dikongsi bermanfaat untuk semua.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid.

Sabtu, 6 September 2014

Bajet? Perlu Ke?

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Hari ni nak cerita pasal bajet, maklumlah bajet negara pun akan dibentangkan tak lama lagi. Bagi yang makan gaji seperti saya, hujung bulan adalah masa yang paling ditunggu-tunggu. Duit gaji masih belum masuk ke akaun, tapi dalam kepala dah macam-macam rancangan nak belanjakan duit gaji tersebut. Itupun kira bajet juga kan.Tapi awas ye jika terlebih bajet, padahnya belum sampai hujung bulan poket dah tinggal habuk. Lainlah yang bekerja sendiri, sama ada selalu masuk atau tak masuk-masuk.  Apa pun yang ingin saya kongsikan di sini adalah kepentingan bajet itu sendiri dalam membantu pengurusan kewangan seharian kita. 

Kebiasaannya di organisasi-organisasi besar, bajet telah dibuat awal setahun. Ianya berfungsi sebagai penunujuk arah dan tanda aras yang mahu dicapai dalam tempoh bajet tersebut.  Contohnya dalam jualan, berapa jumlah jualan yang kita sasarkan setahun. Bahagikan kepada 4 bulan di mana kita boleh menyemak setiap empat bulan sekali adakah kita di dalam trek yang betul untuk mencapai jumlah jualan yang telah ditetapkan. Begitu juga digunakan dalam urusan perbelanjaan.

Kita ke skop yang lebih kecil, iaitu bajet untuk diri sendiri atau keluarga. Suami telah menyerahkan tugas berbelanja kepada saya, jadi mudahlah sikit nak nuat bajet bulanan. Di bawah adalah contoh bajet bulanan saya :-

Gaji                                                                                              XXXX
PERBELANJAAN TETAP
Ansuran Rumah                                                       XXX
Ansuran Kereta                                                        XXX
Bil Utiliti                                                                  XXX
Yuran Asuhan Anak                                                XXX
Yuran tadika & tambang Bas                                   XXX
Insuran takaful                                                         XXX
Simpanan Kecemasan                                              XXX
Belanja rumah & anak                                             XXX
Minyak                                                                    XXX            (XXX)


PERBELANJAAN MUDAH ALIH
Hiburan                                                                   XXX 
Melancong                                                              XXX
Gajet tambahan                                                       XXX
Makan luar                                                             XXX            (XXX)   
Lebihan/(Defisit)                                                                         YYY      

Perbelanjaan tetap adalah perbelanjaan bulanan yang wajib dibayar. Jika tiada disiplin dan istiqamah, maka akan huru haralah hidup kerana dikejar si penghutang.  Saya masukkan simpanan dan insuran sebagai perbelanjaan tetap sebagai payung di masa hadapan jika terjadinya perkara yang kita tidak ingini di masa hadapan. Biasanya saya akan pastikan perbelanjaan tetap dibayar dahulu semasa gaji diperolehi. Manakala perbelanjaan mudah alih boleh diubah amaunnya mengikut berapa lebihan gaji setelah ditolak perbelanjaan tetap. Biasanya perbelanjaan mudah alih ini lebih bersifat seperti kehendak berbanding pebelanjaan tetap yang merupakan keperluan asas hidup. 

Bergantung kepada kita, jika nak perbelanjan mudah alih lebih, kenalah cari pendapatan tambahan. Jika tidak pun , berjimatlah mana yang patut. 

Sekian, salam sayang, 
Munirah Abdul Hamid

   

Rabu, 3 September 2014

Home made Ais Krim

Teks : Munirah Abdul Hamid
Aiskrim perisa vanila dan coklat
Assalamualaikum dan selamat bertemu lagi. Semalam dah cerita pasal char koay teow,hari ni masih lagi pasal makanan iaitu ais krim. Saja je cuba buat sebab ramai yang dah cuba dalam kumpulan Resepi Ringkas. Nampak macam mudah je. Resepi ais krim ni memang mudah cuma nak tentukan tahap kegebuan adunan ais krim tu yang susah sebab ia menentukan keras tak nanti ais krim tu. Ini percubaan kali kedua. Masa yang pertama dulu aiskrim tak keras-keras,yang akhirnya saya tambah ais batu dan minum. Kali kedua cuba, saya ikut betul-betul resepi dan tempoh mengadun. Yeah berjaya juga, tetapi agak manis sedikit kerana saya bukan sahaja terlupa kurangkan gula,tetapi siap tambah serbuk koko lagi. Walaupun terlebih manis, anak-anak tetap suka. ,itu yang rasa macam nak buat lagi.

Bahan-bahan:_
1 tin susu cair
4 sb susu pekat manis
4 sb gula
1 sb ovalet
2 penutup esen vanila

Cara-cara:
  1. Campurkan semua bahan dan adunkan selama 20 minit sehingga adunan gebu.
  2. Kemudian boleh tambah pewarna mengikut kesukaan.
  3. Masukkan ke dalam peti ais dan tunggu sehingga ais krim keras.
  4. Barulah boleh dimakan.
Selamat Mencuba, 
Salam sayang, Munirah Abdul Hamid


Selasa, 2 September 2014

Char Koay Teow

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Hari ni saya nak cerita pasal koay teow. Koay teow merupakan makanan kegemaran saya tak kira dimasak sebagai koay teow goreng, char koay teow mahupun koay teow kungfu. Koay teow juga boleh dibuat sebagai ganti untuk nasi jika dah bosan makan nasi hari-hari.

Hari ni suami membawa kami anak beranak makan di Sany Char Koay Teow yang terletak bersebelahan dengan Istana Budaya, Jalan Tun Razak. Sampai sahaja di sana ramai orang sedang menunggu giliran. Pada pandangan pertama saya berdasarkan meja yang penuh malah ada yang sanggup berdiri menantikan meja kosong, sudah pasti sedap ni. Memang tepat telahan saya, memang sedap. Hinggakan anak-anak tidak mahu makan nasi goreng cina yang dipesan untuk mereka tetapi mereka telah menghabiskan char koay teow yang dipesan untuk saya. Cik suami pun pesan lagi sepinggan tetapi kena tunggu hampir setengah jam baru dapat. Takpe menunggu asalkan dapat menikmati juadah yanf sedap ini.

Char koay teow

Di sini saya ingin kongsikan resepi untuk membuat char koay teow. Pes ini boleh dibuat dalam kuantiti yang besar dan disimpan di dalam peti ais. Jika dah ada stok nak masak bila-bila pun boleh.Kan dapat jimat masa.

Bahan-bahan (2 orang):-
Paste
200 gm udang
250ml air
4 ulas bawang putih diketuk
6 sb sos tiram
3 sk kicap pekat
3 sk kicap manis
1 sk petis udang
2 sb patinikan bilis/pati udang
2 sk garam
1 sk gula

Mee
300 gm koay teow
1 sb cili boh
Kerang
Sedikit kucai dan taugeh

Cara-cara:-

  1. UNTUK PASTE-Rebus udang denagn air. Bila udang hampir masak, toskan air rebusan dan disimpan.
  2. Semua bahan untuk pes dicampur dengan air rebusan udang tadi.Reneh hingga pekat dan tutp api. Bila dah sejuk bolehlah disimpan dalam peti ais.
  3. UnTUK MEE -Tumis cili boh hingga garing. Masukkan 4 sb pes tadi.
  4. Tambahlah udang dan kerang.Tambah air dalam 1/2 cawan
  5. Bila dah mendidih, masukkan koay teow, kucai dan taugeh. Kacau rata dan masukkan telur.
  6. Kacau lagi dan bolehlah dihidangkan.
Selamat mencuba, 

Salam.sayang, Munirah Abdul Hamid







Isnin, 1 September 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Tahun ini genap negara Malaysia tercinta menyambut kemerdekaannya yang ke 57. Ini bermakna sudah 57 tahun kita bebas dari dijajah oleh penjajah seperti Belanda, Jepun dan British. Anak muda sekarang termasuk saya harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini di mana kita bebas bergerak di negara sendiri, tanpa ada huru hara dan perbalahan walaupun penduduk Malaysia berbilang bangsa. 

Tahun ini saya berpeluang membawa anak-anak  saya ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan secara langsung. Bukan untuk mereka sahaja, tetapi untuk diri saya kerana  saya tidak pernah menghadirinya walaupun tinggal bersempadan dengan Kuala Lumpur. Hanya sekadar menontonnya dari kaca tv sahaja. Maklumlah orang ramai sudah pasti. Diharap dapat membina semangat patriotisme dalam diri anak-anak. Walau bagaimanpun saya hanya dapat menyaksikan perbarisan sahaja kerana kiri dan kanan jalan sudah dipenuhi penonton. Segala acara di Dataran Merdeka hanya dapat disaksikan di layar besar yang dipasang di tepi jalan. Balik dari menyaksikan perbarisan, Inas Safia dengan megah berkata " Ummi, besar nanti kita nak jadi askarlah, hebat betullah askar tadi". Sambutan tetap meriah walaupun acara tahunan seperti tembakan bunga api dibatalkan atas sebab memperingati nasib malang yang menimpa MH370 dan MH17.

Kemerdekaan ini haruslah dijaga dengan baik supaya ianya tidak hilang. Merdeka bukan sekadar fizikal tetapi dari segi spiritual juga perlukan suntikan semangat cintakan negara. Yang membimbangkan kita adalah fikiran dan budaya hidup yang masih dijajah. Lihat sahaja peristiwa Parti Bogel di Pulau Pinang dan peristiwa pengantin bergambar separuh bogel di Ipoh. Inikah yang dinamakan merdeka?Mereka ini seperti manusia yang tidak bertamadun bila melampau melangkaui batas susila dan adat tempatan. 

Saya berdoa moga kemerdekaan ini dapat dipelihara  di mana kita bukan sahaja bebas dari dijajah, tetapi bebas juga dari penjajahan minda, budaya, sosia ekonomi dan segala aspek kehidupan kita. Selamat hari merdeka....


Salam Sayang, Munirah Abdul hamid



Donut Pintal

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Hari ini saya ingin berkongsi satu resepi donat yang menarik dari segi bentuk dan juga adunannya. Bentuknya seperti dipintal dan adunannya juga berbeza dari resepi donat yang biasa saya buat. Dan hasilnya seperti di atas. Tetapi saya minta maaflah kerana bentuknya sepatutnya seperti dipintal tetapi donat saya dah bentuk bunga pula. Tapi ok juga yang penting teksturnya lembut dan inilah resepi yang saya cari selama ini. Tak rugi tau mencuba, cuma bahagian pintal memintal tu yang perlu latihan lagi. Bak kata omputeh"Practice Make Perfect".

Bahan-bahan:-
5 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air suam
1 sudu kecil garam
3 sb susu pekat manis
2 sb gula
1 biji telur
1 peket mauripan
1 sb ovelet
1 sb serbuk penaik
1 sb shortening
2 sb marjerin

Cara-caranya:-
  1. Satukan tepung gandum yang telah diayak bersama mauripan, ovelet, serbuk penaik, shortening dan marjerin. Gaul rata hingga menjadi seperti serbuk roti. 
  2. Dalam bekas lain campurkan air suam bersama gula, susu dan garam.
  3. Setelah semua larut, masukkan air larutan ke dalam adunan tepung secara sedikit-sedikit sehingga menjadi doh. Rehatkan adunan selama setengah jam sehingga adunan menjadi ringan.
  4. Tumbuk sedikit adunan untuk mengeluarkan angin dan bolehlah mula memintal. Setelah adunan naik bolehlah digoreng hingga kekuningan.
  5. Salut donat dengan gula halus dan bolehlah dihidangkan.
Selamat mencuba....

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid


Tips Penjimatan Elektrik

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca.Dalam kehidupan seharian kita, tenaga elektrik memang menjadi sumber tenaga yang penting. Oleh sebab itu tak boleh nak elaklah dari membayar bil elektrik. Cuma kalau nak pun boleh kurangkan kos penggunaanya. Hari ini saya menerima bil elektrik. Pastinya terkejut, hmm naik lagi. Sebagai orang yang menguruskan pembayaran, pastinya kenaikan perlukan sedikit analisis. Kenapa asyik naik je, turun tiada. Penggunaan elektrik bergantung kepada beberapa faktor seperti berapa ramai penggunanya, gaya hidup, bilangan serta umur perkakasan elektrik yang ada. 

Di antara perkara yang perlu diambil perhatian:-

  1. Lakukan pengauditan tenaga elektrik di rumah. Kenal pasti perkakasan elektrik yang banyak menggunakan tenaga elektrik seperti cerek elektrik dan seterika. Saya tidak menggunakan cerek elektrik sebaliknya hanya menjerang air di atas dapur gas untuk dibuat air masak. Saya juga akan menggosok pakaian kerja dan baju sekolah anak seminggu sekali. Walaupun menggosok dalam kuantiti yang banyak, berbaloi kerana ia dapat menjimatkan banyak elektrik. Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan tengah malam semasa semua anak-anak dan suami sedang tidur. Selain mengelakkan gangguan, dapat juga menonton tv bagi mengelakkan mata mengantuk.
  2. Sebelum keluar rumah, pastikan semua suiz dan plug dimati dan ditanggalkan. Jika berada di rumah pula pastikan semua suiz lampu, kipas dan penghawa dingin ditutup jika tiada penggunanya. Cabarannya nak mendidik anak-anak dalam hal ini. Selalunya selepas mereka bermain, saya akan buat rondaan untuk memastikan tiada lampu atau kipas dibirkan terpasang.
  3. Bertukar lampu kepada jenis downlight kerana dapat penjimatan sehingga 80%. Tidak dinafikan yang lampu ini agak mahal tapi untuk jangka masa panjang ianya amat berbaloi. Paling tidak pun gunakan lampu kalimantang berbanding mentol bulat.
  4. Bertukar perkakasan elektrik yang menggunakan teknologi inverter. Sekarang kebanyakan perkakas elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan penghawa dingin sudah dilengkapi teknologi ini. Di samping menjimatkan elektrik hampir dua kali ganda, teknologi inverter ini juga dapat meyelamatkan alam sekitar.
  5. Bagi pengguna penghawa dingin, tetapkan suhu di antara 23 ke 26 darjah C. Selain itu pastikan saiz penghawa dingin bersesuian dengan keluasan bilik.
  6. Beli mesin basuh muatan hadapan kerana ianya dapat mengurangkan penggunaan air dan juga elektrik.
  7. Untuk pengguna komputer pula elakkan penggunaan screensaver dan  pastikan suiz monitor ditutup jika tidak digunakan. 
  8. Elakkan dari selalu membuka peti ais kerana sekali buka akan mengeluarkan udara sejuk sebanyak 30 %. Elakkan meletak peti ais di  tempat yang terdedah kepada cahaya matahari atau pun berhampiran dapur masakan. 
Itu sahaja tips berjimat saya kali ini. Moga bermanfaat untuk dikongsi bersama.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid

Cara Mengatasi Si Kaki TV

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Tiga hari cuti sempena merdeka yang panjang, ditambahi pula dengan Astro yang memberi semua saluran percuma membuatkan anak-anak melekat di tv sepanjang masa. Bila dipanggil, dengarlah sahutan tapi mata masih melekat di tv. Dan bahaya juga sebab bila menonton terlalu dekat boleh menyebabkan masalah rabun. 

Bagaimana ya nak mengaatasi masalah ni? Mari saya kongsikan beberapa tips yang boleh digunapakai oleh ibu bapa termasuk saya juga.

  1. Tetapkan masa menonton tv -Memandangkan masa saya bersama anak-anak hanya selepas waktu kerja, saya pastikan mereka hanya menonton tv pukul 9 malam hingga 10 malam. Itupun dengan syarat mereka telah mengaji iqra'  dan menyiapkan kerja sekolah. Tetapi hujung minggu saya bagi sedikit kelonggaran tambahan masa untuk menonton. Lebih baik jika dapat sediakan jadual waktu untuk anak-anak supaya mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam pengurusan masa mereka. 
  2. Kenalpasti rancangan kegemaran anak-anak- Kebiasaannya rancangan di Astro kan diulang berkali-kali sehingga mereka boleh hafal dialog.Jika ada fungsi rakaman, rakam rancangan kegemaran mereka supaya boleh ditonton mengikut jadual yang telah dibuat. Boleh juga muatturun rancangan tersebut secara dalam talian.
  3. Tutup tv- Ini yang biasa saya lakukan bila tiba waktu kena tutup tv. Ada yang akan tarik muka masam terutama bila tengah menonton rancangan kegemaran. Yang bestnya siap sorok remote Astro. Bila camtu apa lagi saya gunakan kuasa veto cabut dan sorok kad Astro. Dah tak boleh tengok tv barulah pandai nak ambik buku dan baca.Tapi bila baca buku cepat je ngantuk, hish geram betul..
  4. Luangkan masa bersama anak-anak - Masa cuti hujung minggu atau waktu malamlah masa untuk saya bersama anak-anak. Kadang-kadang bawa mereka ke pasar raya membeli barang keperluan rumah. Tetapi jangan selalu sebab nanti terlebih bajet. Faham-faham sendirilah kan. Biasanya hari Ahad boleh juga bawa mereka ke taman permainan seperti Tasik Titiwangsa. Mereka akan gembira dan ada juga aktiviti mengeluarkan peluh sebab terpaksa kejar mereka yang kejap-kejap nak main gelungsur, buaian dan kuda.
  5. Keluar dari rumah - zaman kanak-kanak kita dulu berbeza dengan kanak-kanak sekarang. Dulu lepas Asar je mesti dah janji dengan kawan nak main baling selipar, main getah , teng teng dan konda kondi. Bagi saya tidaklah pula galakkan mereka keluar bermain macam tu tanpa pengawasan orang dewasa disebabkan keadaan persekitaran yang saya rasakan kurang selamat bagi anak-anak seperti kes penculikan. Mungkin ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak ke kelas lukisan, taek kwan do dan sebagainya. Jika tidak berkemampuan,  bagi main bola atau basikal pun sudah cukup menggembirakan mereka.
  6. Tanamkan minat membaca- Minat membaca perlu ditanam dari kecil. Membaca kan jambatan ilmu. Kenalpasti minat dan kecenderungan anak-anak dengan membeli buku-buku berkaitan.Lebih baik lagi jika ada gambar-gambar menarik. Tapi ingat ye ibu bapa kena tunjukkan teladan yang baik. Kalau suruh anak baca buku tapi ibu bapa sibuk duk tengok tv, tak boleh jadi juga.
Saya tak nafikan banyak cabaran menjadi ibu bapa generasi y ni. Ibu bapa kena tambahkan ilmu pengetahuan tentang teknologi terkini supaya kita tidak diperbodoh-bodohkan anak-anak kelak.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid


Ahad, 31 Ogos 2014

Menjawab Soalan Si Comel

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Bertemu lagi kita kali ini. Moga pembaca terhibur dan mendapat sedikit manfaaat dari perkongsian saya sebelum ini.. Ramai kenalan dan saudara mara  pulang ke kampung mengambil kesempatan cuti merdeka yang panjang. Saya hanya duduk di rumah menguruskan urusan rumah tangga yang tidak pernah habis.

Permata hati pengarang jantung
Hari ini saya bersarapan di rumah abang atas jemputannya kerana sudah lama kami tidak bertemu sejak hari raya hari tu walau rumah tidaklah jauh sangat. Lebih kurang pukul 9 pagi saya keluar rumah dengan membawa keempat-empat permata hati pengarang jantung. Tiba-tiba anak-anak memberi soalan cepu emas.

Aqeela:Ummi, kejap lagi matahari keluar ye?
Saya: Matahari dah keluar sebab tu dah tak gelap.
Aqeela : Siapa yang tolak matahari keluar?
Saya : Takde siapa yang tolak matahari keluar. Allah dah perintahkan matahari supaya bersinar di siang hari dan bulan di malam hari.Mereka makhluk Allah yang baik sentiasa menjalankan perintah Allah. Adik pun kena jadi macam matahari dan bulan. Boleh tak?
Anis : Macammana Allah bagi perintah kepada matahari dan bulan?
Saya : Kakak kena percaya Allah itu wujud. Kakak kena percaya yang Allah dah aturkan semua kejadian alam mengikut ketetapan Nya. Ummi nak tanya macam mana kakak bernafas?
Anis : Dengan udaralah
Saya : Kakak mampak tak udara tu?
Anis: Tak
Saya :Ha macam tulah makna kepercayaan. Walau kakak tak nampak udara tu tapi kakak percaya yang udara tu ada membolehkan kakak bernafas.Macam tulah kakak kena percaya adanya Allah sebagai tuhan yang satu yang kita sebagai hamba kena ikut perintah Allah yang disampaikan melalui utusannya Nabi Muhammad S.A.W

Oooo...sambut anak-anak.

Tak cukup dengan itu..

Inas : Ummi, betul ke cikgu cakap satu hari nanti , semua benda akan mati dan dunia ni akan hancur berkecai
Saya : Betul. Itu adalah hari kiamat. Semua makhluk dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman  akan dibangkitkan semula untuk dibuat perhitungan sama ada masuk syurga atau neraka. Masa tu Inas pun tak pedulikan ummi dan ummi pun tak kisahkan Inas. Semua orang tengah fikirkan nasib masing-masing. Masa tu semua anggota badan Inas akan jadi saksi semua perbuatan yang Inas buat semasa Inas hidup.
Inas : Maksud ummi, kalau kit amencuri, tangan kita yang cakap. Betul tak?
Saya : Betul. Pandai anak ummi. 

Gelak je dalam hati. Nasib baik ada idea nak jawab soalan anak-anak dara ni. Dan juga nasib baik si bongsu masih belum fasih bercakap., jika tak berpeluh juga dibuatnya. Bagus sebenarnya bila kita dapat anak yang banyak soalan sebab kita akan belajar dan menambah ilmu berkaitan sama ada ilmu dunia atau akhirat. Tapi ingat ye kalau tak tahu jawapan jangan kelentong anak-anak pula. Paling kurang jika tak tahu jawapan, kita minta sedikit masa untuk kita merujuk yang pakar.

Salam sayang,
Munirah Abdul Hamid

Sabtu, 23 Ogos 2014

Cabaran Seorang Wanita Akhir Zaman

Teks : Munirah Abdul Hamid

Sempat lagi selfie dengan ustazah
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nukilan hari ni ulasan saya tentang tazkirah yang bertajuk Cabaran Akhir Zaman Seorang Muslimat. Fitnah wanita akhir  zaman sangat merbahaya. Ianya akan membangunkan negara atau memusnahkan negara. Sebab itu penting untuk mendapat anak yang soleh, acuannya mesti baik bermaksud  isteri mesti yang solehah supaya si suami boleh cuci tangan sahaja apabila melayari bahtera rumah tangga nanti. Ada 5 jenis cabaran yang dihadapi oleh wanita akhir zaman:-

  1. Cabaran sebagai wanita-Apabila datang haid, hendaklah kita bersyukur kerana itu maknanya fitrah kita sebagai seorang wanita sudah sempurna dan rahim kita sihat. Allah bagi cuti (ABC).Sebagai ibu, apabila anak datang haid, ibu hendaklah mengajar anak tentang haid, tekankan kepentingan haid supaya tiada bayi dibuang ke dalam longkang. Ingatkan mereka tentang bahaya pergaulan lelaki dan perempuan dan cara menjaga diri dan maruah mereka.
  2. Cabaran sebagai anak- Cabaran besar terutama kepada yang sudah berkahwin. Menjaga ibu bapa yang sudah tua, tambahan yang sudah nyanyuk amat besar pahalanya dan Allah akan buka rezeki dari sumber yang tidak disangka. Untunglah mereka yang masih punya ibu bapa, masih punya peluang untuk berkhidmat kepada ibu bapa. Ini banyak memupuk kesabaran. Jangan lupa pegang tangan ibu bapa dan suruh mereka doakan kita supaya masuk syurga kerana doa mereka amat makbul.
  3. Cabaran sebagai isteri -Dalam rumahtangga, ujian 5 tahun pertama, 5 tahun kedua dan seterusnya semakin lama semakin mencabar.Untuk ubah suami, isteri kena berubah dahulu.Contoh nak kejut suami bangun solat subuh, tak boleh kejut dengan suara kuat.Ambil kain lembut dan celup air suam. Lapkan badan suami sambil berselawat.Kemudian picit kepala, tengkuk, tangan dan kaki sambil memuji kelebihan suami dan baru ajak suami sembahyang. Mungkin suami lenguh kaki sebab tu susah nak bangun solat.Kita hendaklah sentiasa bersangka baik terhadap suami.
  4. Cabaran sebagai ibu - Nak mendidik anak kita kena tunjukkan contoh yang baik kerana anak-anak akan mencontohi apa yang ibu bapa selalu buat. Nak suruh anak solat. Jangan suruh tetapi mengajak anak solat bersama. Cara mendidik generasi Y yang dipenuhi pelbagai gadjet dan teknologi moden adalah dengan cara kembali kepada sunnah nabi
  5. Cabaran sebagai orang tua -Cabaran untuk menambah ilmu pengetahuan. Pergaulan lelaki dan perempuan bekerja yang tiada batasan yang akan menyebabkan penceraian. Dengan aplikasi Whatsapp dan Messanger percuma menggalakkan fenomena tidak sihat ini. Bermula denagn berkongsi masalah kerja, meleret ke masalah keluarga dan juga masalah dalam kelambu.
Cara untuk elakkan diri dari buat maksiat, fikir:-
  • Bila nak buat maksiat, jangan makan rezeki Allah S.W.T
  • Bila nak buat maksiat, jangan tinggal di muka bumi Allah S.W.T
  • Bila nak buat maksiat, menyoroklah dari dilihat oleh Allah S.W.T
  • Bila nak buat maksiat, jangan bernafas dengan udara Allah S.W.T
  • Bila nak buat maksiat, jangan mengaku sebagai hamba Allah S.W.T
Untuk berdepan dengan cabaran ini, kenalah tambah ilmu pengetahuan dan tidak berhenti berdoa supaya selamat dunia dan akhirat. Dan jangan lupa baca Surah Al Kahfi setiap Jumaat untuk elakkan fitnah Dajjal dan akhir zaman. Jika tidak mampu kerana Suah Al Kahfi ini agak panjang, boleh baca sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir sahaja.

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan sepenuhya. Berjumpa lagi di lain lembaran.





Kek Marble Susu

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari Khamis lepas, balik dari sekolah, anak sulung mengingatkan saya yang besok pagi ada jamuan raya di sekolah agama. La camne ni, saya betul-betul lupa dan tiada bahan masakan di rumah. Nak keluar balik dengan askar-askar ni, hmmm minta maaflah. Nanti elok belanja RM10 jadi lebih sebab kena beli jajan dia orang. Belek jap resepi yang boleh pakai apa-apa bahan yang ada kat rumah. Dan jadilah kek marble susu ni. Kek ni banyak nostalgia dengan arwah emak. Setiap kali raya dia tak lupa nak buat kek ni. Maklumlah bahannya senang je nak ingat takyah tengok resepi pun. Tapi itu arwah emak, anaknya yang seorang ni tengok resepi pun belum tentu kek tu jadi.

Kepada sesiapa yang baru cuba nak belajar buat kek, boleh cuba resepi di bawah. Hasilnya insyaallah gebu dan lembut keknya. Selamat mencuba...

Bahan-bahan:
3 biji telur
1 cawan marjerin
1 cawan gula kaster
2 cawan tepung naik sendiri
2 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar esen vanila
Pewarna ikut suka(saya tambah serbuk coklat)

Cara-Cara:
  1. Pukul marjerin dan gula sehingga kembang
  2. Masukkan telur satu per satu sehingga adunan kembang
  3. Masukkan esen vanila dan susu pekat. Kacau rata hingga sebati.
  4. Masukkan tepung. Kaup balikkan
  5. Akhir sekali bahagi 2 adunan tersebut. Satu bahagian dicampur dengan serbuk coklat dan lagi satu wana asli.
  6. Goreskan loyang dengan marjerin dan maukkan adunan berselang-seli sehingga habis.
  7. Bakar selama 40 minit pada suhu 160 darjah
Mudah bukan.Jangan lupa mencuba.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid














Tabung Warisan Anak Selangor(TAWAS)

Teks: Munirah Abdul Hamid
Sumber : Laman Web TAWAS

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca berkenaan Tabung Warisan Anak Selangor(TAWAS). Ini adalah salah satu program dalam Program Merakyatkan Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor. Tujuan TAWAS diwujudkan adalah untuk tabungan bermula RM100 untuk setiap anak kelahiran Selangor bermula 2008 dan akan matang pada tempoh 18 tahun yang mana mereka layak untuk menuntut RM1,500 dari kerajaan negeri Selangor. Harapnya dapatlah rasa, berbelas tahun lagi nak tunggu, silap-silap dah lupa masa tu.Saya mendapat tahu tentang program ini semasa anak nombor 3 tapi tak sempat nak mohon sebab dah sampai tarikh tutup. Jadi hanya Muazzam saja yang ada rezeki untuk meyertai program ini.

Untunglah ada peluang bantuan seperti ini. Pendapat saya sebagai anak Selangor, ini adalah program yang bermanfaat. Seingat saya, sepanjang hidup ini saya hanya dapat bantuan pinjaman pelajaran dari Yayasan Selangor yang nama pun pinjaman, mesti kena bayar balik.

Penyata simpanan Muazzam-kalau takde tak boleh claim


Di bawah adalah syarat-syarat untuk menyertai TAWAS:-

Syarat I
Permohonan adalah terbuka kepada Anak Selangor yang bermaksud rakyat D.Y.M.M Sultan Selangor yang
memenuhi kriteria seperti berikut:
● Warganegara Malaysia DAN
● Lahir di Negeri Selangor atau di luar Negeri Selangor mulai 1 Januari 2008, DAN
● Sama ada:-
● Ibu atau bapa lahir di Negeri Selangor, ATAU
● Ibu atau bapa lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 ATAU
Syarat II
Permohonan adalah terbuka kepada Anak yang dilahirkan di Selangor yang memenuhi kriteria seperti
berikut:
1. Warganegara Malaysia, DAN
2. Lahir di Negeri Selangor mulai 1 Januari 2008, DAN
3. Ibu dan bapa bukan kelahiran Selangor tetapi telah menetap di Negeri Selangor minimum 5 tahun DAN
4. Cop pengesahan Taraf mastautin ATAU
Syarat III
1. Warganegara Malaysia, DAN
2. Lahir di luar Negeri Selangor , daerah negeri lain yang bersempadan dengan negeri Selangor iaitu
(Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang) yang sama dengan ibu atau
bapa mulai 1hb Januari 2008 DAN
3. ** Ibu atau bapa yang lahir di daerah negeri yang bersempadan dengan Selangor (Negeri Sembilan, Perak  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang).

Jadi, kepada sesiapa yang rasa anak mereka layak, jom daftar ramai-ramai sebelum pentadbiran kerajaan negeri berubah. Hehehe..

Kalau yang belum berdaftar bolehlah daftar secara percuma  di http://www.tawas.org.my secara online.

Pendaftaran boleh dibuat di kaunter pejabat projek TAWAS di alamat seperti berikut:

Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS),
Syarikat Pengurusan Projek TAWAS,
A1-11-2 & A1-11-3 Jalan Multimedia 7/AH,
Park City/I-City, 40000 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan

Atau;

ii. Pendaftaran juga boleh dibuat di pejabat-pejabat DUN yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. 

Jangan lupa sediakan dokumen sokongan seperti d bawah:-
  • Sijil lahir anak/Mykid
  • Mykad ibubapa/penjaga
  • Sijil Perakuan Anak Angkat(jika perlu)
Sekian, hanya berkongsi informasi. Jumpa lagi lain kali ya.

Rabu, 20 Ogos 2014

Prihatinkah Kita?

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Nukilan hari ini sambungan dari entri sebelum ini. Masih lagi berkaitan dengan haiwan. Saya pun tak sangka banyak rupanya iktibar yang boleh kita jadikan pengajaran dari cerita haiwan ini. Ceritanya seperti di bawah:-

Pada zaman dahulu ada seekor tikus tinggal di rumah seorang peladang. Sudah menjadi adat, pasti si tikus ini banyak merosakkan hasil tanaman si peladang lalu membuatkan si peladang berfikir bagaimana caranya untuk membunuh tikus itu. Akhirnya si peladang telah memasang perangkap tikus. Si tikus pun susah hati lalu berjumpa dengan ayam untuk bertanya pendapat ayam. " Alah, perangkap tikus je, Kau jauhkanlah diri kau dari perangkap tu" kata ayam sambil berlalu pergi. 

Tikus tidak berpuas hati dengan jawapan ayam lalu pergi berjumpa dengan kambing untuk bertanyakan pendapatnya. "Kau banyaklah berdoa supaya perangkap tu tak berjaya perangkap kau" kata kambing sambil berlalu pergi. Tikus masih tidak berpuas hati lalu berjumpa dengan lembu. Fikirnya lembu lebih besar dari ayam dan kambing, tentu boleh beri pendapat yang lebih bernas. " Itu kan perangkap tikus, tiada kaitan pun dengan aku" jawab si lembu. Lagi tak boleh pakai. Sedang tikus bersedih hati memikirkan kebarangkalian besar dirinya dijemput maut, tikus terdengar jeritan kuat isteri peladang. Rupa-rupanya  kaki isteri peladang telah dipatuk seekor ular sebelum si ular terkena perangkap tikus itu.

Isteri peladang jatuh sakit dan demam yang tidak kebah-kebah. Fikir si peladang orang sakit kena makan makanan berkhasiat, lalu dia pun menyembelih ayam untuk dijadikan sup bagi merawat isterinya. Dalam masa yang sama, berita isteri peladang dipatuk ular tersebar ke serata kampung. lalu ramailah penduduk kampung datang melawat nya. Disebabkan itu, peladang telah menyembelih kambing untuk dibuat kari bagi dihidangkan kepada penduduk kampung yang datang melawat isterinya. Selang beberapa hari kemudian, isterinya pun meninggal dunia. Si lembu pula disembelih untuk dibuat lauk kenduri tahlil arwah isterimya. Akhirnya tinggallah tikus meneruskan hidupnya. 

Apakah iktibar yang kita dapat ambil dari cerita di atas?

Dalam masyarakat kita gejala sosial seperti  pembuangan bayi, masalah dadah dan lain-lain yang dirasakan semakin hari semakin meruncing. Kita sebagai ahli masyarakat tidak boleh berfikiran seperti ayam, kambing dan lembu yang mana tidak mahu langsung mengambil tahu masalah si tikus. Asalkan diri mereka terlepas dari bahaya kerana perangkap dipasang peladang adalah untuk si tikus, bukan untuk mereka. Tetapi akhirnya mereka juga yang menjadi mangsa kerana ketidakprihatinan mereka kepada masalah si tikus. Begitu juga diri kita. Jika kita rasakan masalah sekeliling kita tiada kaitan dengan kita maka kita pun buat endah tak endah. Mana tahu disebabkan sifat tidak ambil tahu kita akan menggadaikan masa depan waris kita di masa hadapan.  

Contoh yang paling mudah adalah bagaimana respon kita kepada penderitaan penduduk sesama Islam kita di Gaza. Hari ini mereka ditindas oleh Israel Laknatullah seolah-olah nyawa penduduk Palestin tiada nilainya. Memang kita tidak mampu mengangkat senjata, namun kita boleh menyertai kempen memboikot produk Israel bagi melemahkan ekonomi mereka. Jangan lupa keluarkan sedikit rezeki yang Allah beri untuk didermakan kepada penduduk Palestin. Paling tidak pun tak payah keluarkan modal, cuma dermakan sedikit masa untuk berdoa supaya perjuangan penduduk Palestin berjaya. 

Oleh itu, mari tambah sikap prihatin kepada keadaan sekeliling kita, tapi janga pula terlalu prihatin sampai dalam kain orang pun kita ambil tahu. Jumpa lagi di lain lembaran.....

Salam Sayang, Munirah Abdul Hamid

  

Ahad, 17 Ogos 2014

Iktibar Dari Burung dan Cacing

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Malam minggu yang sunyi tetapi mata masih belum mahu dibuai mimpi lalu teringat saya satu kisah yang didengar di radio. Setiap pagi semasa memandu,  saya mendengar slot motivasi pagi di Ikim fm. Menariknya minggu ini penceramahnya banyak menggunakan haiwan sebagai ikon untuk manusia ambil iktibar.

Haiwan pertama adalah burung. Cuba kita perhatikan setiap pagi burung akan keluar dari sarangnya mencari makanan sama ada untuk dirinya atau untuk anak-anak yang menanti di sangkar. Burung tidak pernah putus asa walau terpaksa terbang jauh. Bayangkan satu hari yang sedih untuknya dahlah tiada makanan, bila balik ke sangkar anak-anaknya sudah tiada atau sarangnya rosak angkara manusia. Burung akan membina sarang yang baru tanpa kenal erti putus asa. Burung terpaksa berlapar hari itu dan esoknya keluar lagi mencari rezeki tanpa kenal erti jemu.

Haiwan kedua adalah cacing. Cacing jika dibandingkan dengan manusia 100% memang kurang upaya.  Cacing tiada mata, untuk melihat, tiada kaki dan tangan untuk bekerja namun pernahkah kita lihat cacing menghantuk-hantuk kepala ke dinding atau menenggelamkan diri di dalam air supaya mati kerana kekurangan diri. Tidak bukan sebaliknya cacing akan terus hidup dengan segala kekurangan diri ditukar menjadikannya kelebihan untuk meneruskan survival hidupnya.

Iktibar yang dapat kita ambil dari 2 haiwan di atas, sebagai khalifah Allah di muka bumi ini kita tidak boleh berputus asa dalam apa jua cabaran dan dugaan yang datang menimpa. Setiap hari mendatang hendaklah dimulai dengan fikiran positif tanpa ada perkataan jemu. Bersyukurlah dengan nikmat lengkap anggota badan yang Allah kurniakan. Gunakan ia ke jalan kebaikan supaya taraf kehidupan dapat dipertingkatkan. Nukilan ini bukan untuk pembaca sahaja tetapi untuk diri saya manusia biasa yang sentiasa lupa dan perlu suntikan motivasi.

Moga termotivasi selalu....
Selamat malam....


Sabtu, 16 Ogos 2014

Selamat Tinggal Taska

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Dah hampir 2 minggu sya bercuti membiarkan blog tidak dikemaskini. Kalau rumah dah bersawang ni.

Hari ni saya nak bercerita tentang anak-anak yang tidak lagi tinggal di taska. Syukur alhamdulillah sebab ini pilihan yang terbaik yang Allah beri kepada saya. Ini adalah kerana adik saya bersetuju menjaga anak-anak saya. Suaminya juga bekerja berdekatan dengan taman perumahan saya. Jadi tiada masalah untuk beliau berulang alik setiap hari ke rumah saya.

Saya ingin kongsikan dengan pembaca perkembangan positif yang dapat dilihat dari anak-anak. Yang pertama, kepala mereka telah bebas kutu kepala. Tiada lagi syampoo kutu, tiada lagi tergaru-garu dan kulit kepala mereka bersih dari telur kutu.

Kedua, sudah dua minggu dijaga Acik iaitu panggilan anak-anak kepada adik saya tiada seorang pun diserang demam,selsema dan batuk. Ini bermakna kesihatan mereka jauh lebih baik berbanding tinggal di taska yang membuka risiko senang dijangkiti penyakit yang saya panggil tiga sekawan itu. Namun saya tetap memberi mereka suplemen tambahan seperti vitamin c dan minyak ikan.

Yang ketiga, tidur anak bongsu saya tidak lagi terganggu. Ini kerana waktu pagi semua kakak-kakaknya bangun untuk bersekolah. Muaz boleh terus tidur lena di atas katil berbanding dulu saya terpaksa mengejutkannya untuk pergi ke taska. Walaupun tinggal di rumah tetapi anak-anak tetap dibiasakan dengan rutin taska seperti tidur selepas makan tengah hari sehingga pukul 3 petang. Selepas manďi petang mereka boleh bermain basikal di luar rumah. Tetapi malang sikit sebab jiran-jiran tiada anak sebaya, jadi mereka hanya bermain antara mereka sahaja. Bagi saya tiada masalah perkembangam sosial sebab mereka ada berkawan di sekolah.

Itu untuk anak-anak. Bagi saya pula saya dapat pergi bekerja dengan lebih tenang sebab tidak perlu terburu-buru untuk menghantar dan mengambil anak-anak di taska. Tiada lagi aktiviti menyusun baju ke dalam beg taska. Tiada lagi aktiviti mengangkut 5 ke 6 beg sekolah ke dalam kereta pagi dan petang. Tiada lagi rutin mingguan ke klinik untuk merawat demam selsema yang dah jadi kawan baik anak-anak sewaktu di taska. Dan yang paling penting saya dapat membantu adik saya menjana pendapatan tambahan dan membantu anaknya yng berumur setahun lebih untuk berkawan.

Syukur ya Allah atas nikmat yang engkau berikan padaku.


Rabu, 30 Julai 2014

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Lama betul tidak mengepos entri dalam blog ini. Minggu terakhir Ramadhan disibukkan dengan urusan kerja di pejabat, almaklumlah nak bercuti panjang. Di rumah pula sibuk dengan projek baju raya yang masih belum siap dan projek mengemas rumah. Tup tap tup tap dah sampai pun hari lebaran yang dinanti.

Tahun ini tahun kedua hari kemenangan ini disambut tanpa emak tersayang. Sayu rasa hati mengenangkan arwah. Kali ini raya pertama disambut di rumah arwah di Ampang. Kebiasaannya sambutan dimulakan dengan menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Alhamdulillah dapat saya tunaikan tanpa gangguan anak-anak yang ditinggalkan bersama makcik mereka. Selepas itu kami akan menjamu selera dengan memakan juadah raya seperti lemang, rendang ayam dan daging dan menu utama adalah soto. Kebiasaannya orang akan melawat kubur, tetapi tidak bagi kami untuk mengelakkan ramai orang. Kami telah ziarahi kubur sehari sebelum raya. Di pagi raya ini kami adik-  beradik berkumpul membaca surah yasin dan tahlil buat kedua-dua arwah. Dan aktiviti terakhir sesi fotografi bersama keluarga.

Pada petangnya baru saya berangkat ke rumah kakak ipar di Banting.  Kami menghabiskan satu malam di sana sebelum bertolak ke rumah seorang lagi kakak ipar di Bangi. Hmm penat tak terkata. Balik rumah terus berkemas hendak ke Pulau Pinang pula. Kami bertolak pukul 10.30 malam dan nasib baik keadaan trafik agak lengang. Alhamdulillah selamat sampai ke sini.

Nanti saya sambung cerita lagi. Di kesempatan ini saya ingin menyucapkan selamat hari raya aidil fitri dan menyusun jari memohon maaf jika ada tersalah tulis menghiris perasaan.

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid


Isnin, 21 Julai 2014

Agar-Agar Santan

Teks :Munirah  Abdul  Hamid


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Dah banyak hari saya bercuti dari mengepos entri. Banyak kerja di pejabat, projek baju raya yang masih belum siap lagi selain masalah kesihatan yang mengganggu. Banyak betul dugaan bulan puasa ni. 

Sabtu lepas 19 Julai adalah hari kelahiran suami tercinta yang ke 40. Tiadalah sambutan yang beria-ia cuma saya menjemput adik beradik meraikannya dengan mengadakan majlis iftar di rumah. Saya cuma memasak nasi dan ikan goreng selain agar-agar santan sebagai pencuci mulut.  Ada juga menempah sate sebagai menu tambahan kepada nasi goreng. Selebihnya dibawa serba sedikit oleh tetamu yang akhirnya terjadi juga lambakan makanan. Akhinya semua tetamu kena bawa balik makanan untuk mengelakkan pembaziran. 

Hari ini saya ingin kongsikan resepi agar-agar santan bersama pembaca. Selalunya saya agak fobia bila nak memasak agar-agar ni sebab selalu pembahagian yang jernih dan telur selalu tak jadi. Tapi hari ni cantik berseri agar-agar ni. Maaf ye  masuk bakul angkat sendiri.

Bahan - bahan :
1 bungkus agar-agar tali
4 cawan air( 1 cawan air daun pandan)
1 cawan gula 
Pewarna hijau
1 biji telur
1 kotak santan kelapa

Cara-cara:
  1. Masak agar-agar bersama air
  2. Setelah semua agar-agar hancur, masukkan gula
  3. Tambah pewarna hijau 
  4. Kisar telur dan santan bersama dan masukkan dalam adunan agar-agar tadi
  5. Masukkan dalam loyang kegemaran andadan sejukkan di dalam peti ais
Senang betul nak buat. Berbaloi rasaya dari beli agar-agar di pasar ramadhan yang memang indah khabar dari rupa. Selamat mencuba....

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid



Selasa, 15 Julai 2014

Puding Triafle

Teks : Munirah Abdul Hamid


Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Hujung minggu ini agak sibuk dengan projek baju raya. Berkampung di rumah arwah emak sebab cikgunya merangkap adik tinggal di situ. Senang nak tanya kalau ada yang tak faham sebab ini kali pertama saya menjahit baju fesyen. Menu berbuka hari ini dibuat secara gotong-royong. Tugas saya menyediakan pencuci mulut iaitu puding triaffle.

Saya memang sukakan puding ini terutama bila dimakan sejuk. Macam makan aiskrim sahaja. Dipanggil triaffle kerana ada 3 lapisan iaitu kek gulung di bawah sekali , kastad di tengah dan buah-buahan beserta agar-agar di atas sekali. Kadang-kadang bila tiada kek gulung saya hanya buat 2 lapisan atas sahaja, pun sedap juga. Saya lebih suka menggunakan buah original berbanding resepi asal yang menggunakan buah dalam tin kerana saya boleh pilih buah yang saya suka. Bagi saya buah-buahan dalam tin selain diawet juga isinya yang tidak sekata iaitu buah yang murah banyak tetapi buah yang mahal boleh dikira dengan jari.

Hari ini hanya 3 jenis buah sahaja diguna iaitu buah naga, kiwi dan anggur. Saya juga menggunakan jeli kristal berperisa rasberi sebagai ganti agar-agar. Hmm tak tahulah macam mana rasanya sebab banyak buah yang masam. Sebab itu saya lebihkan gula sedikit di dalam kastad supaya rasanya seimbang. Di bawah ini saya sertakan resepi jika ada pembaca yang teringin mencuba.

1 gulung kek swiss roll
1 cawan tepung kastad
1/2 cawan gula
1 tin susu cair
1 tin air(guna tin susu cair)
1 bungkus agar-agar
1.2 liter air
1/2 cawan gula
Buah-buahan dalam tin

CARA-CARA
  1. Potong kek lapis dan susun dalam loyang atau bekas.
  2. Masak susu cair, air, gula dan tepung kastad di dalam periuk sehingga likat.
  3. Renjiskan air ke atas kek supaya mudah melekat bila adunan kastad diletakkan di atas kek.
  4. Susun buah-buahan ke aats adunan kastad dan diakhiri dengan lapisan aga-agar.
  5. Sejukkan dan boleh dihidangkan.
Selamat mencuba....

Salam sayang, Munirah Abdul Hamid

Isnin, 14 Julai 2014

Shake n Take

Teks : Munirah Abdul Hamid

Shake n Take

Assalamualaikum kepada semua. Hari ni sudah 15 hari berpuasa. Cepat sungguh masa berlalu tanpa disedari. Minggu lepas Shake n Take saya yang dibeli secara dalam talian dah sampai.  Baru hari ni baru berkesempatan nak gunakannya. Teringin pula nak rasa jus buah naga. Apalagi balik kerja tadi singgah pasar malam beli buah naga.

Tujuan saya membeli Shake n Take ini untuk menggalakkan pengambilan buah-buahan dalam diet keluarga saya. Tak payahlah pengisar yang ada digunakan untuk mengisar cili dan buah-buahan. Bukan apa pernah terkena jus limau ada rasa pedas cili. Ni gara-gara cuci pengisar kurang bersihlah... Lagipun saya selalu membuat air jus peria katak dicampur epal hijau buat cik abang bagi mengawal penyakit kencing manisnya.

Memang terbaiklah Shake n Take ni. Mata pisaunya yang tajam dapat mengisar ais dalam masa yang singkat sahaja. Hasil kisaran sangat halus tak perlu ditapis. Dan yang terbaik jagnya boleh diminum terus kerana ianya bersaiz botol minuman sukan dan penutupnya mempunyai tempat untuk menyedut air. Sangat berbaloi dengan nilai wang yang dilabur.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya boleh layari www.lazada.com. Akhir kata selamat berbuka puasa dan jumpa lagi....








Jumaat, 11 Julai 2014

Sikit-Sikit Lama-Lama Jadi Bukit

Teks : Munirah Abdul Hamid

Assalamualaikum semua pembaca. Jika pembaca mengikuti blog saya, ini adalah entri perkembangan jahitan baju raya anak-anak saya. Hari ni dah masuk 13 hari kita berpuasa, tapi satu baju pun belum siap lagi ni.  Encik husband pun dah sengih-sengih perli tengok kain-kain tu masih di atas meja. Lepas ke Jalan TAR hari tu saya telah memanggil tukang servis mesin jahit untuk menyelenggara mesin peninggalan arwah emak. Mesin jenama Singer ni sangat bagus kualitinya.Seingat saya dari saya kecil mesin ini telah wujud. Dengan mesin inilah saya menuntut ilmu jahit-menjahit.

Sebenarnya saya dah lama tidak menjahit. Biasanya kain dipotong oleh adik yang juga seorang tukang jahit dan saya akan menjahitnya. Tetapi kali ini saya belajar bagaimana mahu membuat pola dan memotong kain. Jadi hari ini saya dah menanam azam untuk berjaga malam dan menyiapkan kain baju peplum dan seluar baju melayu Muazzam.

Alhamdulillah dapat juga siapkan seluar, tetapi kain hanya dapat dicantum sahaja.Pinggang  tak boleh dipasang getah kerana saya terlupa mengambil ukuran pinggang anak-anak. Jadi esok sajalah saya siapkan kain - kain tersebut. Lagipun sekarang sudah 2 pagi, tak nak kerja ke esok cik Muni?

Pola baju masih belum dibuat lagi. Kena tunggu hujung minggu bertapa di rumah arwah emak menghadap cikgu. Sebagaimana saya belajar menulis di blog, sedikit-sedikit ilmu dikutip lama-lama insyaallah penuh ilmu di dada. Yang perlu kuat adalah semangat dan keazaman yang tinggi untuk mencapai apa yang diimpi.Moga bertemu lagi lain entri. Selamat malam.....
HAISIL JAHITAN MALAM NI